EKSPRESI cinta  membuatkan ramai insan berasa begitu bahagia dan dihargai kerana ada  seseorang yang sentiasa berdiri di belakang di kala semangat hidup  semakin patah. Bahkan cinta juga memberi kekuatan untuk meneruskan  perjalanan yang selama ini bagaikan sudah kabur dan tiada arah tujuan.
Namun,  apabila lima perkataan itu - cinta - semakin pudar dek banyak halangan  dan onak, anda terpaksa melupakannya. Rasa pedih dan patah hati apabila  diri dikecewakan adalah ketentuan yang perlu ditempuhi.
Biarpun  terpaksa melupakannya untuk seketika atau selamanya, harus diingat itu  semua bukan kehendak anda.
Mula-mula memang agak sukar untuk menerima  kenyataan menempuh kekecewaan tetapi lama kelamaan, ia pasti boleh  dihadapi.
Tidak dinafikan hidup ini sunyi tanpa cinta tetapi kena  ingat, semuanya datang daripada-Nya.
Takdir mengatasi segalanya dan  kekuatan diri harus dibina untuk mampu berdiri dan terus melangkah bagi  membina cinta, seterusnya yang lebih teguh sehingga bahagia selamanya.
* Latih minda melupakan kenangan  pahit
Bunyinya senang namun bagi yang menanggungnya,  ia perlu dilakukan secara berterusan. Mengaku saja anda sering berasa  sedih sebab banyak kali mengingat kenangan pahit atau selalu kembali ke  memori silam yang sering melukakan.
Untuk itu, anda harus mengatakan  pada diri 'berhenti' mengingati kenangan melukakan itu terutama ia  memberi kesan emosi yang mendalam dalam kehidupan kini.
Mulai hari  ini, tekad untuk melupakan semua itu sehingga membiarkan minda menjadi  kosong. Tekadkan azam untuk memfokus kepada masa depan, cita-cita,  keluarga, kerjaya, kewangan, keilmuan dan rakan.
Anda tidak akan  dapat melupakan semua memori pahit sekali gus tetapi lakukan  perlahan-lahan dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses  ini mengambil masa tetapi tidak mustahil dengan disiplin diri yang kuat,  segalanya akan berubah.
Buang sikap risau
Ada dua kesan daripada  sikap risau. Pertama, ia menarik nasib tidak baik, masalah dan musibah  tanpa anda pinta.
Kedua, ia memberi kesan buruk pada kesihatan sama  ada dari segi fizikal atau mental. Risau membuatkan diri selalu sedih  dan kecewa, kadang-kadang takut. Untuk membuang sikap itu, belajar untuk  bertenang dan latih diri anda mengawal keadaan.
Belajar bersyukur
Ucap  syukur atas semua yang ada, apa saja! Misalnya, ucap syukur kerana anda  masih ada lima deria yang lengkap, boleh melihat dan menarik nafas  setiap kali bangun tidur. Syukur kerana ada kawan rapat yang memahami  dan mempunyai telefon bimbit kesayangan.
Ucap syukur sebanyak mungkin  dan seikhlas hati hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri.  Buat banyak kali dalam sehari.
Belajar jadi pemaaf
Sikap pemaaf  dapat membersihkan hati daripada perasaan dan emosi negatif (takut,  sedih, kecewa, gusar, menyampah, marah, geram, cemburu, tidak puas hati,  dendam atau busuk hati). Seterusnya, neutralkan gelombang fikiran  negatif yang melekat bersarang di minda anda.
Anda sebenarnya selalu  sedih dan kecewa kerana tidak memaafkan kesalahan diri anda pada masa  lalu ataupun tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri anda  suatu ketika dulu.
Mungkin juga anda susah menerima hakikat perbuatan  salah orang lain yang membuatkan sering dibuai kesedihan, kekecewaan  dan lara berpanjangan. Belajarlah menjadi pemaaf dan menghapuskan semua  ini lalu menarik ketenangan datang pada diri anda.
Ketawa, ketawa dan terus ketawa
Ketawa  bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benar-benar menggembirakan dan  menjadikan anda girang. Tonton video lucu, baca cerita lucu, dekatkan  diri dengan rakan yang lucu serta cari sudut melucukan dalam setiap  situasi agar anda boleh ketawa secara automatik. Ketawa dapat  menghilangkan sedih. Mengapa melayan kecewa sedangkan anda boleh ketawa?
Ubah fikiran
Kita  tidak boleh mengubah situasi yang boleh membuat diri kecewa, sedih dan  murung. Tetapi, anda boleh mengubah fikiran dan apa yang anda fikirkan  mengenai situasi itu walau seburuk manapun ia.
Rahsianya, cari sinar  mentari di sebalik mendungnya awan. Walaupun ia tidak berpihak kepada  anda, cari cara untuk menemui nilai positif di dalamnya.
Fikir yang  baik-baik saja kerana ia memberi keuntungan jangka panjang. Rezeki anda  murah dan segala yang baik-baik datang sendiri pada anda. Anda menjadi  apa yang anda mahukan.
Mengapa fikir perkara buruk sedangkan anda  boleh menarik semua yang baik-baik? Fikir yang buruk, anda dapat yang  buruk. Ini hukum alam yang dinamakan hukum 'sebab dan akibat'.
Hati mesti 'keras'
Bukan  keras sebarangan, maksudnya kekerasan hati, kesabaran tinggi, pandai  mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka.
Allah  menurunkan musibah dan permasalahan bukan sekadar dugaan tetapi balasan  pada perbuatan anda pada masa lalu.
Sebelum tidur, tetapkan minda  untuk jadi ceria pada keesokan harinya. Lafazkan dengan nada berbisik.  Relaks, jangan terlalu mendesak diri. Selepas bangun tidur, katakan pada  diri, ini adalah hari yang baru untuk anda.
Tekadkan diri untuk  menjadikan hari yang baru itu hari yang baik, sungguh baik serta sebaik  yang mungkin daripada hari sebelumnya.

 
No comments:
Post a Comment