Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
  
“Malaikat turun  lalu menyampaikan khabar gembira kepadaku bahawa  sesungguhnya Fatimah bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita  penghuni syurga”.
 Serikandi tauladan kali ini menghidangkan kisah salah seorang dari  kalangan kerabat terdekat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam,  belahan hati baginda, sisi pilihan dari kalangan wanita solehah terbaik  sepanjang zaman dan pemimpin para wanita penghuni syurga. Beliaulah  Saidatina Fatimah Radiallahu anha, puteri pemimpin umat  manusia, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam , Muhammad bin  Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf Al-Qursyiyah  Al-Hasyimiyah; ibu Hasanain, Al-Hasan dan Al-Husin.
 Fatimah dilahirkan di Ummul Qura, ketika orang-orang Quraisy membina  semula bangunan Kaabah,iaitu lima tahun sebelum Nubuwwah.  Fatimah      Radiallahu  anha merupakan puteri bongsu dan puteri paling utama kepada  pasangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan Saidatina  Khadijah Radiallahu anha.  Beliau membesar di rumah nubuwwah  yang suci, matanya celik seawal usia untuk menjadi saksi urusan risalah  yang dikhususkan Allah bagi ayahnya, Muhammad Sallallahu Alaihi  Wasallam.  Ibunya, Saidatina Khadijah bintu Khuwailid Radiallahu  anha, wanita terbaik pendamping Rasul akhir zaman.  Suami  Saidatina Fatimah adalah antara Khalifah Ar-Rasyidin yang utama,  pemimpin kaum muslimin di zamannya, Saidina Ali bin Abu Thalib Radiallahu  anhu.  Anak-anak kepada pasangan ini adalah dua orang pemimpin  para penghuni syurga, dua cucu Rasulullah, Al-Hasan dan Al-Husin  Radiallahu anhuma.  Datuk saudara beliau adalah pemimpin para syuhada’  Asadullah, Hamzah bin Abdul Muthalib.  Datuk saudara beliau yang lain  adalah pemimpin Bani Hasyim yang biasa melindungi para tetangga,  mengorbankan harta, terbiasa bersedekah kepada fakir miskin, iaitu  Al-Abbas bin Abdul Muthalib Radiallahu anhu. Jaafar bin Abdul  Muthalib Radiallahu anhu, adalah antara datuk saudara beliau  yang utama, sekaligus bapa saudara kepada suaminya, yang merupakan  pemimpin para syuhada’, dan panji para mujahidin.
 Setelah turunnya wahyu yang membawa tugas risalah kenabian kepada  Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam dari sisi Rabbnya, maka  Ummul Mukminin Khadijah Radiallahu anha adalah manusia yang  pertama sekali beriman terhadap risalah haq tersebut.  Begitu juga  dengan puteri-puteri Rasulullah yang suci; Zainab, Ruqayyah, Ummu  Kultsum dan Fatimah juga tercatat sebagai orang-orang yang berada di  saff hadapan dari kalangan orang-orang terawal menerima Islam.  Ibnu  Ishaq Radiallahu anhu menyebutkan dari Ummul Mukminin,  Saidatina Aisyah Radiallahu anha sebagai berkata, “Setelah  Allah Subhanahu wa Taala memuliakan nabiNya dengan nubuwwah, maka  Khadijah dan puteri-puterinya masuk Islam.”  Puteri-puteri  Rasulullah berada dalam satu ikatan bersama ibu mereka dalam kelompok  terdepan di landasan dakwah Islamiyyah, yang dibekali dengan keIslaman  dan keimanan yang teguh kepada Allah dan RasulNya.
WANITA YANG SABAR DAN BERTAKWA  
 Di dalam sirah perjalanan dakwah Rasulullah, baginda bangkit  menyampaikan risalah Rabbnya tanpa mengendahkan sebarang cubaan,  tekanan, penyeksaan, cacian, perlecehan, dan pendustaan yang dilakukan  oleh kaum yang memusuhi baginda.  Saidatina Fatimah menyaksikan segala  bentuk kesulitan yang dihadapi oleh Rasulullah, malahan beliaulah yang  mengubati kesedihan dan menghiburkan hati ayahnya saat berhadapan dengan  kejahilan kaum musyrikin ketika itu.
 Salah satu peristiwa yang kekal di dalam ingatan puteri Rasulullah ini  ialah apabila menyaksikan penghinaan dari salah seorang Quraisy yang  kasar dan sangat buruk tingkahlakunya, Uqbah bin Abu Mu’aith.  Si jahil  ini menawarkan diri untuk melemparkan kotoran isi perut unta ke belakang  tubuh Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda  sedang sujud, sehingga baginda tidak mampu untuk bangkit dari sujudnya.   Saidatina Fatimah segera mendatangi ayahnya untumembersihkan kotoran  tersebut, sebelum menghampiri kelompok musyrikin yang merancang  perbuatan keji itu .  Dengan lantang dan penuh berani, beliau mencaci  dan mencela tindakan mereka yang sangat tidak beradab. 
 Seusai solat tersebut, Rasulullah menadahkan tangan baginda dan berdoa  bagi kecelakaan mereka, dengan bersabda, “ Ya Allah, ada kewajipan  atas Engkau untuk mencelakakan Syaibah bin Rabi’ah. Ya Allah, ada  kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Abu Jahl bin Hasyim. Ya Allah,  ada kewajipan atas Engkau untuk mencelakakan Uqbah bin Abu Mu’aith. Ya  Allah, ada kewajipan untuk Engkau mencelakakan Umayyah bin Khalaf”.   Doa baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dikabulkan Allah Subhanahu  wa Taala.  Nama-nama kaum musyrikin yang disebutkan di dalam doa  tersebut terbunuh semasa Perang Badar.
 Kehidupan puteri Rasulullah ini juga tidak lari dari penderitaan akibat  perbuatan kejam kaum musyrikin yang membenci dakwah Rasulullah  Sallallahu  Alaihi Wasallam .  Salah satunya ialah ujian pemboikotan ke atas  seluruh kaum Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib di mana orang-orang  Musyrik menemukan kata sepakat untuk melancarkan boikot secara total  terhadap mereka. Tidak ada urusan jual beli, tidak ada pembicaraan,  tidak ada pergaulan, sehinggalah Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib  menyerahkan Rasulullah kepada orang-orang Quraisy.  
 Akibatnya, seluruh kerabat Rasulullah kecuali Abu Lahab dipulaukan dan  dikepung di perkampungan Abu Thalib.  Sepanjang tempoh hampir tiga tahun  itu, seringkali kedengaran tangisan anak-anak kecil dan rintihan para  wanita lantaran kelaparan.  Natijah dari peristiwa ini juga, kesihatan  Saidatina Khadijah Radiallahu anha merosot dan berlanjutan sehinggalah  beliau kembali bertemu dengan Rabbnya. 
 Kesan terbesar dari episod pemulauan tersebut ialah pemergian Saidatina  Khadijah  Radiallahu anha. Dengan kehilangan tersebut, Fatimah  lah yang memikul beban kehidupan dan berkongsi penderitaan berat yang  dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.  Walaubagaimanapun, hal tersebut malah menambahkan keimanan dan ketaqwaan  dirinya serta membuatkan beliau semakin dekat dengan ayahnya. 
 Saidatina Fatimah Az-Zahra juga termasuk di antara wanita yang  berhijrah.  Di Madinah, beliau membuka lembaran baru kehidupan  dikelilingi kaum yang murah hati, yang mencintai orang-orang yang  berhijrah kepada mereka serta melebihkan kaum Muhajirin lebih dari diri  mereka sendiri.  
TELADAN RUMAHTANGGA ALI DAN FATIMAH  
 Pada tahun kedua selepas hijrah, Saidina Ali bin Abu Thalib menikahi  Saidatina Fatimah dengan maharnya baju besi yang nilainya hanya empat  dirham.  Pernikahan penuh berkat itu terjadi setelah Perang Badar  Al-Kubra.
 Sejarah tidak pernah mengenal seorang wanita yang mampu menghimpun  kesabaran dan ketakwaan seperti halnya Saidatina Fatimah.  Semenjak hari  pertama perkahwinannya dengan Ali, beliau terpaksa mengerjakan seluruh  tugas rumah tangga yang sangat berat ketika itu, bermula dari kerja  menggiling bahan makanan dan membuat adunan roti sehingga rambutnya  terkena percikan-percikan tepung atau terkadang terkena debu.   
 Beliau jugalah yang memproses dan memasak adunan roti tersebut.  Ini  terjadi kerana suaminya tidak mampu mengupah pembantu untuk membantu  Fatimah dalam menyelesaikan urusan rumahtangganya.  Bahkan Ali sempat  berpesan kepada ibunya, Fatimah bintu Asad kerana menyedari tugas-tugas  berat Fatimah di rumahnya, “ Janganlah membebani Fatimah bintu  Rasulullah dengan pekerjaan di luar rumah, dan cukuplah dia mengerjakan  pekerjaan di dalam rumah, membuat tepung, adunan roti dan memasak” .  Ali juga menyedari kesan-kesan keletihan di wajah Fatimah, tetapi  beliau sering menghiburkan isterinya dengan menyebutkan yang harta  rampasan dan tawanan perang akan datang kepada mereka. 
 Apabila tiba masa yang sesuai, Ali menasihati isterinya agar mendatangi  Rasulullah untuk meminta seorang pembantu dari kalangan tawanan perang.   Permintaan keduanya ditolak secara baik oleh Rasulullah kerana baginda  lebih mementingkan kemaslahatan kaum muslimin yang lain.  Rasulullah  menyusuli pasangan tersebut di waktu tengah malam dan bersabda kepada  keduanya:  
"Bagaimana jika kuberitahukan kepada kalian berdua tentang  sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kalian pinta kepadaku? Ada  beberapa kalimat yang diajarkan Jibril kepadaku, hendaklah kalian  bertasbih kepada Allah di hujung setiap solat sebanyak sepuluh kali,  bertahmid sepuluh kali dan bertakbir sepuluh kali. Jika kalian beranjak  ke tempat tidur,bertasbihlah tiga puluh kali, bertahmidlah tiga puluh  kali dan bertakbirlah tiga puluh kali.”  [Ditakhrij Al-Bukhari,  Muslim, At-Tirmidzi dan Abu Daud]
 Kalimah-kalimah ini menjadi bekalan Ali dan Fatimah yang sentiasa mereka  ucapkan sehingga akhir hayat mereka.  
KEMULIAAN PERIBADI FATIMAH RA  
 Abu Nuaim rahimahullah menyifati Fatimah Az-Zahra; dalam  Al-Hilyah dengan berkata,” Di antara para wanita yang suci dan  bertakwa ialah Fatimah Radiallahu anha. Dia menghindari dunia dan  kesenangannya, mengetahui aib dunia dan bencananya.”
 Kehidupan Fatimah Az-Zahra diwarnai kesederhanaan namun ditaburi barakah  dan cahaya yang mengisyaratkan zuhud, wara’ dan ketakutannya kepada  Allah serta sentiasa berbuat baik semata-mata untuk meraih  keredhaanNya.  Rasulullah pernah menegur Fatimah ketika puteri  kesayangan baginda itu mengenakan seuntai kalung dari emas, hadiah  pemberian dari suaminya. Rasulullah kemudiannya bersabda:  “Wahai  Fatimah, apakah engkau suka jika orang-orang berkata, ‘Inilah Fatimah  bintu Muhammad, yang di tangannya terpegang kalung dari api neraka?”.   Saidatina Fatimah lantas membeli seorang hamba dengan kalung emas  tersebut dan memerdekakannya.  Sebaik Rasulullah mengetahui hal  tersebut, baginda bersabda, “Segala puji bagi Allah yang telah  menyelamatkan Fatimah dari api neraka”.
 Fatimah Az-Zahra mencapai tingkat ketakwaan, keutamaan dan zuhud yang  tidak terkalahkan oleh wanita di zamannya.  Beliau turut menempati  kedudukan yang tinggi dalam hal  As-shiddiq, yang suci dan  diberkati. Kemuliaan ini diakui sendiri oleh Saidatina Aisyah Radiallahu  anha Aku tidak melihat seseorang yang  lebih benar perkataannya selain dari Fatimah, kecuali ayahnya”.
 dengan menyebutkan, “ 
 Adz-Zahaby Rahimahullah menyebutkan kemuliaan peribadi Fatimah  dengan berkata, “Beliau seorang wanita yang sabar, taat beragama,  baik, menjaga kehormatan diri, suka bersyukur kepada Allah dan  Rasulullah sangat memuliakannya”.  Beliau menduduki kedudukan yang  istimewa di antara para wanita Islam, sehingga beliau mendapat sebutan  al-batul, kerana kelebihan beliau di dalam lapangan ibadah,  ditambah dengan kelebihan agama dan keturunannya.
MUJAHIDAH YANG MEMENUHI HAK  
 Saidatina Fatimah Radiallahu anha tercatat di antara tokoh  muslimah yang namanya harum di medan jihad.  Di dalam Perang Uhud  contohnya, suatu perang yang memberikan pengajaran besar bagi kaum  muslimin ketika itu.  Imam Al-Bukhari mengisahkan peranan Fatimah dengan  berkata, “Beberapa orang wanita dari kalangan Muhajirin dan Ansar  keluar, sambil mengusung air dan makanan di belakang mereka, termasuklah  Fatimah bintu Rasulullah.  Ketika beliau menyaksikan darah mengucur di  wajah ayahnya, maka beliau segera memeluknya, lalu mengusap darah di  wajah baginda.  Pada saat itu, beliau berkata, ‘"Amat besar kemarahan  Allah terhadap orang-orang yang membuatkan wajah RasulNya berdarah”. 
 Sah’l bin Sa’d pula menceritakan peristiwa tersebut dengan  menyebutkan,  “  Rasulullah terluka sehingga gigi baginda patah. Fatimah bintu  Rasulullah mencuci darah yang mengucur di wajah baginda, sedangkan Ali  mengalirkan air dengan menggunakan bekas air.  Ketika Fatimah melihat  bahawa air tersebut semakin membuatkan darah mengalir deras, maka beliau  mengambil potongan tikar dan membakarnya sehingga menjadi abu.  Lalu  disapukan di luka baginda, sehingga darah tidak lagi mengalir dari luka  tersebut.”
 Fatimah turut menyusuli kehidupan jihad di beberapa tempat lain termasuk  di dalam Perang Khandaq dan Khaibar.  Di dalam peperangan ini,  Rasulullah memberikan bahagian harta rampasan perang berupa lapan puluh  lima wasaq gandum dari Khaibar.  Fatimah juga ikut bergabung di dalam  Fathul Makkah. Ketika itu, beliau menonjolkan sikap yang mulia dan  terpuji apabila menolak untuk memberikan jaminan perlindungan bagi Abu  Sufyan bin Harb. 
KEKASIH RASULULLAH SAW  
 Rasulullah pernah ditanya oleh seseorang, “Siapakah orang yang  paling engkau cintai?”. Baginda menjawab, “Fatimah”.    [(Diriwayatkan oleh Ab-Bukhary, Muslim dan Abu Dawud].  Al-Imam  Adz-Zahaby Rahimahullah berkata, “Wanita yang paling  dicintai oleh Rasulullah ialah Fatimah, sedangkan dari kaum lelaki ialah  Ali”.
 Diriwayatkan dari Ali bin Abu Talib  Radiallahu anhu, beliau  berkata, “ Aku bertanya kepada Rasulullah, "siapakah yang engkau  cintai di antara kami, akukah atau Fatimah?’, Baginda menjawab, ‘Fatimah  lebih aku cintai daripada engkau, dan engkau lebih aku muliakan  daripada Fatimah”.
 Fatimah menduduki tempat yang tersendiri di dalam hati Rasulullah, yang  tidak dapat ditandingi oleh wanita-wanita lain.  Cukuplah kemuliaan  baginya seperti yang digambarkan oleh Saidatina Aisyah  Radiallahu  anha  melalui sanad Al-Imam Al-Bukhary, “Aku tidak melihat  seorang pun di antara manusia yang lebih mirip dengan Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam,dalam perkataannya, dalam ucapannya, dan cara  duduknya melainkan Fatimah.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam  melihat Fatimah datang, maka baginda menyambutnya, bangkit  menghampirinya lalu memeluknya, memegang tangannya dan mendudukkannya di  tempat yang sebelumnya baginda duduki.  Jika Nabi Sallallahu Alaihi  Wasallam yang datang, maka Fatimah menyambut, bangkit menghampiri  baginda dan memeluknya”.
 Gambaran cinta Rasulullah kepada Fatimah turut difahami apabila setiap  kegembiraan Fatimah adalah juga kegembiraan baginda, dan setiap  kesedihan Fatimah adalah juga kesedihan bagi baginda Nabi.  Baginda  pernah ‘membaca’ kesalahfahaman di antara puteri baginda dengan suaminya  hanya melalui riak wajah Fatimah, lantas mendatangi keduanya untuk  memberikan nasihat.  Beliau kemudiannya keluar dengan wajah yang  berseri-seri dan bersabda “ Apakah yangmenghalangiku (dari merasa  bahagia)? Aku sudah mendamaikan dua orang yang paling kucintai”.
 Sebagaimana Rasulullah senang dengan kegembiraan Fatimah, maka baginda  juga marah kerana kemarahan Fatimah.  Baginda sangat memperhatikan  perasaan puterinya.  Dikisahkan bahawa Ali bin Abu Talib  Radiallahu  anhu pernah berkeinginan untuk melamar puteri Abu Jahal dan hal ini  menimbulkan kesedihan Fatimah.  Rasulullah kemudiannya bangkit dan  bersabda, "Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian dari diriku dan  aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Demi Allah, puteri  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak boleh bersatu dengan puteri  musuh Allah pada seorang lelaki (suami)”  [Diriwayatkan  oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud].  Perkataan Rasulullah ini  membatalkan hasrat Ali untuk melamar puteri Abu Jahal kerana ingin  menjaga perasaan Fatimah.
 Ibnu Abdil-Barr  Rahimahumullah menyebutkan keluhuran Fatimah,  yang mengisyaratkan keutamaan beliau di sisi Rasulullah dengan berkata, “Jika  Rasulullah tiba dari peperangan atau perjalanan jauh, maka yang pertama  sekali baginda lakukan ialah memasuki masjid lalu solat dua rakaat,  menemui Fatimah dan barulah kemudiannya menemui isteri-isteri baginda  yang lain.”
PERJALANAN MENUJU KEABADIAN  
 Di akhir hayat Rasulullah, Ummul Mukminin Aisyah menuturkan, “Kami  isteri-isteri baginda berkumpul hampir dengan Rasulullah . Baginda tidak  mendekati salah seorang di antara kami,kecuali apabila melihat  kehadiran Fatimah yang gaya jalannya sangat mirip dengan gaya jalan  Rasulullah.  Baginda menyambut kehadiran puterinya lalu mendudukkannya  sangat hampir di sisi dirinya.  Kemudian, baginda membisikkan perkataan  yang mampu membuatkan Fatimah menangis, dan bisikan kedua pula  menyebabkan Fatimah tersenyum.  Kami hanya mengetahui perkataan tersebut  setelah Rasulullah wafat. 
Fatimah berkata, “Pada kali pertama, baginda memberitahukan  kepadaku bahawa biasanya Jibril memperlihatkan Al-Quran sekali dalam  setahun.  Sementara pada tahun ini, dia memperlihatkannya dua kali.   Baginda kemudiannya bersabda,” Aku tidak mengertikan yang demikian  melainkan petanda ajal baginda kian hampir.  Maka bertakwalah kepada  Allah dan bersabarlah.  Sesungguhnya sebaik-baik orang-orang yang lebih  dahulu berlalu bagimu adalah aku”.  Maka aku (Fatimah) pun menangis.   Ketika melihat kesedihanku, maka baginda bersabda,“Apakah engkau tidak  redha sekiranya engkau menjadi pemimpin para wanita alam semesta atau  para pemimpin wanita umat ini”.  Maka, aku pun tersenyum.”
 Sepeninggalan Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wasallam, kesihatan  Fatimah semakin merosot kerana ditimpa penyakit dan lantaran kesedihan  yang sangat mendalam.  Beliau akhirnya meninggal dunia pada malam  selasa, tiga hari sebelum berakhirnya bulan Ramadhan pada tahun 11  Hijrah.  Ketika itu, beliau baru berusia 29 tahun.  Maka, benarlah apa  yang pernah disebutkan oleh Rasulullah, bahawa beliau adalah orang yang  pertama sekali dari keluarga baginda yang akan menyusuli pemergiannya.
NISA’ MUBASSYARAT BIL JANNAH!  
 Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda, “Wanita  penghuni syurga yang paling utama ialah Khadijah bintu Khuwailid,  Fatimah bintu Muhammad, Asiah bintu Muzahim, isteri Firaun dan Maryam  bintu Imran”.   [Diriwayatkan Ahmad dan Al-Hakim]
 Hadis lain yang berisi khabar gembira buat Saidatina Fatimah sebagai  penghuni syurga ialah hadis yang diriwayatkan oleh Hudzaifah  Radiallahu  anhu, bahawa Rasulullah bersabda, 
 “ Malaikat turun kepadaku menyampaikan khabar gembira bahawa Fatimah  bintu Rasulullah adalah pemimpin para wanita penghuni syurga”.
 Yang pasti, di dalam kehidupan Saidatina Fatimah Az-Zahra’  Radiallahu  anha ini, banyak riwayat yang mengindikasikan khabar gembira  seperti ini.  Beliau juga menduduki tingkat yang istimewa di antara  puteri-puteri Rasulullah, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnul Jauzy Radiallahu  anhu, “Kami tidak mengetahui seorang pun di kalangan  puteri-puteri Rasulullah yang menjadi penyandaran hadis selain Fatimah  Radiallahu Anha”.  Beliau meriwayatkan 18 hadis dari Rasulullah,  yang dimuatkan di dalam Kutubus-sittah, yang sebahagian di  antaranya ditakhrij dalam Ash-Shahihain, satu hadis Muttafaq Alaihi.   Dan cukuplah keberkahan 
 bagi dirinya kerana keturunan Nabawi hanya berasal darinya.
 Semoga paparan kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra’ ini bakal dijadikan  ikhtibar kepada para muslimah, lantaran watak peribadinya sebagai model  sosok seorang anak yang berbakti kepada ibu bapanya, isteri yang sabar,  wanita ahli ibadah, mujahidah, ibu yang bertakwa, yang taat,zuhud dan  banyak memuji Allah serta mensyukuri nikmatNya.  Semoga Allah meredhai  Saidatina Fatimah  Radiallahu anha, menempatkan beliau di makam  tertinggi dan sesungguhnya Dia tidak pernah menyalahi janjiNya.

 
No comments:
Post a Comment