Rasulullah  s.a.w bersabda, maksudnya: "Allah mengutuk wanita yang bertatu atau  minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur  alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan  mereka yang mengubah ciptaan Allah." Riwayat Ibnu Mas’ud
Huraian :
i) Maksud  mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah  S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar  tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau  memulihkan kecacatan.
ii)  Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T.  yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas  itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik,  menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.
iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu  disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka  hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T.  Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan  termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula  terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan  kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu  cantik dan sukakan kecantikan.
iv)  Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan  sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat  gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang  lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah  atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak  (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada  kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk  menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau  janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat  atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga  keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana  merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.
v) Diri manusia dan segala makhluk di alam  ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi  segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan  terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya  disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan  dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang  diwarisi daripada syaitan. 

 
No comments:
Post a Comment