“Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal  fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia –  si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa,  isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada  suami.”
 Bait-bait kata itu aku tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan.  Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah  indahnya jika aku bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan  itu. Ku bulatkan tekad di hatiku. Aku ingin menjadi seorang gadis yang  sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan aku jua ingin menjadi  seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan  hanya untuk suami, kerana Allah.
 Menjadi seorang isteri….kepada insan yang disayangi…..idaman setiap  wanita. Alhamdulillah, kesyukuran aku panjatkan ke hadrat Ilahi atas  nikmat yang dikurniakan kepadaku.
 Baru petang tadi, aku sah menjadi seorang isteri setelah mengikat  tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris,  alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. Aku berazam  untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya.
 
 “Assalamualaikum,” satu suara menyapa pendengaranku membuatkan aku  gugup seketika.
 “Waalaikumusalam,” jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan  satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan  perlahan dia melangkah menghampiriku.
 “Ain buat apa dalam bilik ni? Puas abang cari Ain dekat luar tadi.  Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi.”
 Aku tersenyum mendengar bicaranya. Terasa panas pipiku ini. Inilah  kali pertama aku mendengar ucapan ‘abang’ dari bibirnya.
 Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai  ‘buah hati’ nya. Aku sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan  ku dongakkan wajahku dan aku memberanikan diri menatap pandangan  matanya.
 Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa  indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. Aku  tenggelam dalam renungannya, seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini.
 Seketika aku tersedar kembali ke alam nyata. “Ain baru je masuk. Nak  mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan?” ujarku.
 “Ha’ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat  Maghrib sama-sama ye?” Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati  kewanitaanku. Alangkah beruntungnya aku memilikimu, suamiku.
 Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan  penuh kasih, ku salami dan ku cium tangannya, lama.
 Aku ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan aku  dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut.  Dengan perlahan aku menatap wajahnya.
 “Abang…..” aku terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu di  hadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu  dilepaskan. Erat terasa genggamannya.
 “Ya sayang…” Ahhh….bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh  perasaanku.
 “Abang… terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri  biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak  tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita  melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah.” Tutur bicaraku ku susun  satu persatu.
 “Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi  terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk  yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang  seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya.”
 “Insya Allah abang….Ain sayangkan abang.”
 “Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.”
 Dengan telekung yang masih tersarung, aku tenggelam dalam pelukan  suamiku.
 Hari-hari yang mendatang aku lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku,  ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita aku  tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis.
 Setiap kali aku merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh  mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar ku  sambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan.
 Bukankah aku ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami?  Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk  berkhalwat di Gua Hira’.
 Lalu, ku cium tangannya, ku pohon ampun dan maaf. Ku hadiahkan  senyuman untuknya. Katanya senyumku bila aku lepas menangis, cantik!
 Ahhh….dia pandai mengambil hatiku. Aku semakin sayang padanya.  Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran  itulah aku masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan  dan ketaatan hanya untuk suami.
 “Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa  senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian,  dia menjaga maruahnya dan hartamu.”
 Aku teringat akan potongan hadis itu. Aku ingin merebut gelaran  isteri solehah. Aku ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku  ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan  perkataanku. Ku hiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata-mata.
 Makan minumnya ku jaga dengan sempurna. Biarpun aku jua sibuk  lantaran aku juga berkerjaya. Pernah sekali, aku mengalirkan air mata  lantaran aku terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari  kerja. Segalanya perlu aku uruskan. Aku terasa seperti dia tidak  memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari  rezeki.
 Namun, aku teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang  menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga.
 Aku teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan  segala keperluan suaminya. Hatiku menjadi sejuk sendiri.
 Ya Allah, aku lakukan segala ini ikhlas keranaMu. Aku ingin mengejar  redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah aku kekuatan, Ya  Allah.
 “Ain baik, cantik. Abang sayang Ain.” Ungkapan itu tidak lekang dari  bibirnya. Membuatkan aku terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia  pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah.
 Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan  kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka  melengkapkan kebahagiaanku.
 Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan  kepada kami.
 Namun, pada suatu hari, aku telah dikejutkan dengan permintaannya  yang tidak terduga.
 “Ain…..abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain.”
 “Apa dia abang?” tanyaku kembali. Aku menatap wajahnya dengan penuh  kasih. “Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang  bertuah punya Ain sebagai isteri,” bicaranya terhenti setakat itu. Aku  tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. Takkan hanya itu?
 “Abang ada masalah ke?” Aku cuba meneka.
 “Tidak Ain. Sebenarnya……,” bicaranya terhenti lagi. Menambah  kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin  diucapkannya.
 “Ain……abang…..abang nak minta izin Ain……untuk berkahwin lagi,”  ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat aku tersentak. Seketika  aku kehilangan kata.
 “A…..Abang…..nak kahwin lagi?” aku seakan tidak percaya mendengar  permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. Aku  sangka aku telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. Aku sangka  hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang.
 Rupanya aku silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang  untuk insan selain aku.
 Tanpa bicara, dia mengangguk. “Dengan siapa abang?” Aku bertanya. Aku  tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata.  Tapi….hatiku… hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini.
 “Faizah. Ain kenal dia, kan?”
 Ya, aku kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di  universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan aku tahu  Faizah juga aktif berjemaah.
 Orangnya aku kenali baik budi pekerti, sopan tingkah laku, indah  tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku  menaruh hati pada Faizah.
 “A….Abang……Apa salah Ain abang?” nada suaraku mula bergetar. Aku cuba  menahan air mataku daripada gugur. Aku menatap wajah Abang Harris  sedalam-dalamnya. Aku cuba mencari masih adakah cintanya untukku.
 “Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang  pada Ain.”
 “Tapi….Faizah. Abang juga sayang pada Faizah….bermakna…..sayang abang  tidak sepenuh hati untuk Ain lagi.”
 “Ain…..sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang.  Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang  banyak berurusan dengan Faizah….Abang tak mahu wujud fitnah antara  kami.”
 “Lagipun….abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari  satu.”
 Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa  ragaku. Aku mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah  luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. Aku telah cuba  memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku?
 Sesungguhnya aku tidak menolak hukum Tuhan. Aku tahu dia berhak.  Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari  bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi.
 Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan, aku memandang  wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya.
 Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata  semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu.
 Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini  pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini.  Alangkah pedihnya!
 Selama seminggu, aku menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan  aku sengaja tetapi aku tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku  sebagai seorang isteri aku laksanakan sebaik mungkin, tapi aku merasakan  segalanya tawar. Aku melaksanakannya tidak sepenuh hati.
 Oh Tuhan…..ampuni daku. Aku sayang suamiku, tapi aku terluka dengan  permintaannya itu.
 Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti.  Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ?
 Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang aku ragukan? Pasti ada hikmah  Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini.  Aku berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian.
 Aku rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku.  Kini, aku hanya terhibur dengan keletah anak-anak.
 Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata,  aku tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. Aku benar-benar  terluka.
 Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku  setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri  pandang merenung wajahku walau aku selalu melarikan pandangan dari anak  matanya.
 Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. Aku keliru. Benar-benar keliru.  Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia  hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin  lagi?
 “Oh Tuhan…berilah aku petunjukMu.” Dalam kegelapan malam, aku bangkit  sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. Aku mengkoreksi kembali  matlamat hidupku.
 Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku? Untuk  mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah?
 Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atas ku untuk  menguji keimananku, aku rela Ya Allah. Aku rela.
 Biarlah… Bukan cinta manusia yang ku kejar. Aku hanya mengejar cinta  Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah aku telah berazam, aku  inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku?
 Dengan hati yang tercalar seguris luka, aku mengizinkan Abang Harris  berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini, aku sendiri yang  menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah.
 Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila aku menawarkan diri untuk  merisik Faizah.
 “Ain?……Ain serius?”
 “Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua  atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau…Ain jujur terhadap  abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia,”  ujarku dengan senyuman tawar. Aku masih perlu masa untuk mengubat luka  ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi  cepat sembuhnya.
 Aku mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku.  Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk  menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima  undanganku.
 Sememangnya aku bukanlah asing baginya. Malah dia juga mesra dengan  anak-anakku.
 “Izah……akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak
cakapkan,” setelah aku merasakan cukup kuat, aku memulakan bicara.
 “Apa dia, Kak Ain. Cakaplah,” lembut nada suaranya.
 “Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?”
 “Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?” Ada nada kehairanan pada suaranya.  Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan  Uztazah. Aku hanya mengangguk.
 “Pernah dia cakap dia sukakan Izah?”
 “Sukakan Izah? Isyyy….tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz  Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya  pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari  orang ke ni?”
 “Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita…….” Aku terdiam  seketika. “Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah  jadi isterinya, Izah suka?” Dengan amat berat hati, aku tuturkan
kalimah itu.
 “Kak Ain!” jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. “Apa yang Kak Ain  cakap ni? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain,” kata Faizah seakan  tidak percaya. Mungkin kerana aku sendiri yang menutur ayat itu. Isteri  kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya.
 “Tidak Izah. Akak tak bergurau……Izah sudi jadi saudara Kak Ain?”  ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap aku tahan.  Faizah memandang tepat ke wajahku.
 “Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang……Ustaz  Harris…..mahu… melamar saya?”
 Dari nada suaranya, aku tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah  gadis yang baik. Aku yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat  permintaan seperti ini. Lantas, aku menceritakan kepada Faizah akan  hasrat suamiku.
 Demi untuk memudahkan urusan jemaah, untuk mengelakkan fitnah. Faizah  termenung mendengar penjelasanku.
 “Kak Ain…..saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya  ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf  kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya  menjadi punca hati Kak Ain terluka,” ujarnya sebak. Matanya ku lihat  berkaca-kaca.
 “Izah…Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang
Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak  dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji  keimanan Kak Ain.”
 “Kak…maafkan Izah.” Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam  elukannya. Aku juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku  terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan  ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang  hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain.
 “Jadi…Izah setuju?” Soalku apabila tangisan kami telah reda.
 “Kak Ain….ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah  tak mahu lukakan hati Kak Ain.”
 “Soal Kak Ain….Izah jangan risau, hati Kak Ain…Insya Allah tahulah  akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak  sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang  akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain  mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia  seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar.  Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat  Izah. `’
 “Akak…..Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa  dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu.”
 “Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada  ibu bapa Izah.”
 Pertemuan kami petang itu berakhir. Aku berasa puas kerana telah  menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah…..inilah pengorbananku untuk  membahagiakan suamiku. Aku lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.’
 Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah  menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai  dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang.
 Namun, aku yakinkan mereka akan kemampuan suamiku. Alhamdulillah,  keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama.  Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua.
 “Ain…..abang minta maaf sayang,” ujar suamiku pada suatu hari,
beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah.
 “Kenapa?”
 “Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain.  Tapi….Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi  untuk abang. Abang terharu. Abang….malu dengan Ain.”
 “Abang….syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki  suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada  Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang  gembira. Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `’
 “Ain….Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini.
Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah  cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain.”
 “Tapi…abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat.  Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat  laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin.”
 “Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya.” Dengan lembut dia  mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. Aku tahu kasihnya padaku  tidak pernah luntur. Aku terasa air jernih yang hangat mula membasahi  pipiku. Cukuplah aku tahu, dia masih sayangkan aku seperti dulu walaupun  masanya bersamaku nanti akan terbatas.
 Pada hari pertama pernikahan mereka, aku menjadi lemah. Tidak  bermaya. Aku tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat  perit bagiku walau aku telah bersedia untuk menghadapinya.
 Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam  pertama aku ditinggalkan sendirian menganyam sepi. Aku sungguh sedih.  Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. Aku tidak mampu lena walau  sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah.  Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru.
 Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan aku ? Berendam air mata  mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. Aku punya anak-anak.  Merekalah teman
bermainku.
 Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. Aku  memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa  seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku  rembeskan tanpa dapat ditahan.
 “Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?” ujarnya  lembut.
 “Ain rindu abang. Rindu sangat.” Tangisku makin menjadi-jadi. Aku  mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan.
 “Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada  abang?” Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku.
 “Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain?” Aku  menduga keikhlasan bicaranya.
 “Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata,  sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah  semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abang rindu.  Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya  itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk  abang.”
 Aku mengukir senyum penuh ikhlas. Aku yakin dengan kata-katanya. Aku  tahu sayangnya masih utuh buatku.
 Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. Aku melayannya seperti  adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa  tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati.
 Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga,  sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya, aku lebih mengenali  Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek  sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris.  Aku, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa  menghormati dan menjaga hati Abang Harris. Aku bersyukur, Faizah tidak  pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya.
 Walaupun kini masa untuk aku bersama dengan suamiku terbatas, tetapi  aku dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami  bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu.  Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak  pernah mengabaikan aku dan Faizah. Aku tidak merasa kurang daripada  kasih sayangnya malah aku merasakan sayangnya padaku bertambah.  Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar  merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. Aku rasa aku  harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang  selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-akan kasih sayangku padanya.
 Memang aku tidak dapat menafikan, adakalanya aku digigit rindu  apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu, aku  ubati dengan zikrullah. Aku gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah  dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. Aku habiskan masaku  dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit  kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan.  Aku tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan  Maha Pencipta.
 Soal anak-anak, aku tidak mempunyai masalah kerana sememangnya aku  mempunyai pembantu rumah setelah aku melahirkan anak kedua. Cuma,  sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka  pergi, tak pulang ke rumah. Aku terangkan secara baik dengan mereka.  Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah  seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah  juga menjadi ‘ibu’ mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik. Mereka suka  ada dua ibu. Lebih dari orang lain. Ahhh…anak-anak kecil. Apa yang kita  terapkan itulah yang mereka terima. Aku tidak pernah menunjukkan riak  kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti  adikku sendiri.
 Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan  lain selain aku, memang aku rasa cemburu, rasa terluka. Aku cemburu  mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain. Aku  terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah,  isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada.  Inikan pula aku, manusia biasa. Tapi….. ku kikis segala perasaan itu.  Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami.
  Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang  merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan  kasihnya pada orang lain. Selagi aku tahu, kasihnya masih utuh buatku,  aku sudah cukup bahagia. Dan aku yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih  sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya  kepadaku. Aku ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku,  supaya nanti Allah jua meredhai aku. Kerana sabda Rasulullah s.a.w
 “Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan  suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga.”  (Riwayat-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah).
 Sungguh bukan mudah aku melalui semuanya itu. Saban hari aku  berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu  semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal  dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu. KepadaNyalah aku pohon  kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah aku pinta  kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan.
 Namun, jika aku punya pilihan, pastinya aku tidak mahu bermadu.  Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran.  Walau bagaimanapun, aku amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah  mengabaikan tanggungjawabnya. Dan aku juga bersyukur kerana menjadi  intan terpilih untuk menerima ujian ini.