LeaderHead

Monday, February 28, 2011

Pulihkan Cinta Kalian

"Hanis pulang lewat hari ini sebab ada banyak kerja di pejabat. Hanis minta maaf sebab terpaksa pulang lewat dan lambat sediakan makan malam buat abang." Suara ikhlas si isteri meredakan suasana tatkala si suami juga penat bekerja menanti kepulangan permaisuri ke pangkuan.

"Hanis buatlah kerja. Itu amanah Hanis dengan Allah SWT. Amanah Hanis dengan majikan. Lagipun abang dah biasa macam ni masa bujang dulu." Si suami pula menyapa lembut lantas mendamaikan petang yang seakan-akan kelam.

***

Bebanan kian terasa tatkala pernikahan baru mencecah usia tiga bulan. Inai di jari juga masih merah . Dia juga tahu amanah mahupun tanggungjawab itu harus dipikul, bukan dilepaskan atau dibiarkan. Setiap orang akan tahu betapa beratnya bebanan sebagai pasangan suami isteri apabila mereka sudah berada di alam tersebut.

Dulu memang tiada perancangan langsung di dalam buku catatan sebelum berkahwin. Hanya yang ada jumlah hantaran, bajet kenduri, kad jemputan, lokasi perkahwinan, mak andam, sewa kanopi, rahsia malam pertama dan lain-lain lagi tanpa tersentuh apatah lagi menyentuh soal tanggungjawab sedangkan perkahwinan itu amanah. Katanya cukup kursus pra-perkahwinan.

"Mulut memang mudah menutur namun apakah akan sepersis perilaku?"

Kita mudah memahami nota-nota cinta di dalam drama bersiri, telenovela, di helaian novel atau cerpen. Sesungguhnya, adakala memang benar juga apabila sampai kepada babak rumahtangga mithali, rumahtangga kecoh, rumahtangga hancur. Namun, ianya berlalu bagaikan air dan tidak ada muhasabah. Air mata bercucuran kerana terlalu emosi menonton drama kegemaran tetapi kita lupa bahawa kita mungkin akan menghadapi keadaan yang sama kelak.

Kita ialah jiwa hamba. Jiwa kecil kita ini mudah tersentuh apabila perasaan tidak serasi dengan fitrah. Fitrah manusia normal senang hanyut sekiranya tiada iman sebagai pendinding. Kebal kita bukan kerana kuat atau sihat tubuh badan tetapi kuat iman menahan asakan bak jarum menusuk halus di setiap penjuru. Kadangkala apabila pernikahan terbina bukan kerana cinta kepada Ilahi maka tumbuhlah tunas-tunas lalang menghalang cahaya cinta Ilahi daripada terus menerjah ke sumur hati.

Mulalah timbul bibit-bibit di hati mahu berpisah atau baik hidup membujang. Kita juga lupa apabila sudah berkahwin tiada lagi wangian melekat di badan seperti seawal bercinta dahulu. Kini yang tinggal hanya bau yang tidak menyenangkan lantaran penat bekerja. Kini barulah kita tahu tembelang sebenar pasangan. Si suami bangun lewat tatkala waktu Subuh dan si isteri pulang lewat malam tanpa keizinan.

Memang susah mencari seorang Adam yang terfikir untuk berkahwin supaya mempunyai seorang Hawa yang halal baginya itu mengarah jalan menuju ke Syurga. Kita cuma terfikir kehidupan di dunia sahaja. Apabila timbul soal perkahwinan ianya hanya berupa material luaran sahaja. Tiada lagi pertimbangan rohani dan tiada lagi soal kebahagiaan si dia, kebebasan si dia atau mengerti tentang si dia. Isteri pula hanya sekadar alat untuk melepaskan tempias nafsu semata-mata.

Kita bukan sahaja hipokrit dengan pasangan malah bersikap munafiq dengan Allah SWT. Kita mengharapkan si dia sempurna tetapi adakah kita sedar pasangan kita juga menagih kebaikan dan tanggungjawab kita kepada institusi perkahwinan seperti yang kita ikrarkan dulu.

Benar qadha' dan qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang tetapi Allah SWT yang menetukan soal jodoh, maut, dan rezeki kita. Tidak penting di mana kita bermula tetapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi. Ianya umpama mengemudi sebuah kapal yang penuh dengan barangan dagangan untuk di layari di tengah-tengah lautan, ia adalah tanggungjawab. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak dan pelayaran tetap diteruskan. Hanya yang tinggal ialah kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda dan kelasinya.

***

Buku: Berteduh Di Kebun Cinta

Kenapa motivasi cinta?

Saya mengenang kembali tujuan saya menghasilkan buku ini. Bukan untuk mencari populariti dan bukan niat saya untuk menjadikan buku ini best seller, ianya cuma satu anugerah tidak terhingga andai diberi peluang. Namun jauh di sudut hati ketika itu, saya ingin melihat masyarakat kita terdidik dengan nilai kerohanian tinggi agar remaja mengenali diri, suami isteri saling mengerti dan lantas melahirkan institusi keluarga yang bahagia.

Hari demi hari memang kita sering dihidangkan dengan masalah politik tanah air tetapi kita jangan lupa bahawa saban hari kita juga dihidangkan dengan masalah keruntuhan akhlak, masalah pergaulan bebas dan masalah sosial di sana sini tanpa ada lagi rasa malu asalkan nafsu dapat dipuaskan.

Bayangkan perempuan sudah hilang dara pada usia 13 tahun, ketagihan hubungan seksual, bercinta hingga ke dalam kain, sanggup dibawa kekasih yang dicintai ke seberang. Ini cuma kes yang didedahkan di dalam akhbar tempatan namun saya yakin masih banyak lagi perkara sebegini berlaku di luar sana. Bukan berganda bahkan berganda-ganda.

Sedih dan geram. Jujurnya, saya cuba untuk menyentuh golongan ini secara lembut, baik remaja, suami isteri mahupun keluarga supaya mengerti di sebalik kalam cinta yang diluahkan dan yang dipatri antara kalian. Jangan lupa ramai juga dalam kalangan mereka berlatarbelakangkan agama tetapi masih gagal apabila berhadapan krisis hati dan soal cinta. Benteng iman perlu diperkuatkan daripada rebung lagi. Anak-anak harus dididik dan diajar supaya mereka kenal cinta dan Pencipta cinta.

Cinta ialah sesuatu yang sering kita bicarakan, cuma cara dan kaedah kita bercinta sahaja yang berbeza namun ianya masih memerlukan penghayatan yang mendalam. Cinta yang kita mahukan adalah bersalut redha Ilahi, cinta kita kepada pasangan kerana cinta kita kepada Ilahi dan janganlah kita halalkan cinta sebelum berkahwin kerana ianya penuh noda. Berilah cinta kita sepenuhnya kepada pasangan.

Buatlah sesuatu atas dasar mencari redha Allah SWT walaupun perlakuan tidak semudah tutur kata. Perjuangan itu memang memenatkan dan kadangkala mengundang rasa putus asa. Namun, ketahuilah bahawa penat itulah yang bakal melahirkan izzah seseorang hamba dan sesungguhnya ketabahan tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Duhai isteri, belajarlah untuk menjadi sekuat Siti Hajar dan seteguh Siti Fatimah tatkala berhadapan dengan hidup yang serba kekurangan. Cinta mereka kepada Allah SWT tidak pernah kurang. Inilah mahar yang harus dibayar demi meraih kekuatan cinta abadi dan iman yang kukuh. Segala-galanya kerana Allah SWT.

Benarlah kata orang;

"Allah SWT bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya tapi cinta kita kepada-Nya. Pulihkan cinta kalian kepada-Nya, demi cinta kalian kepadanya. "

1 comment:

Emil Fahmi said...

ana mohon share ye bg certain2 perenggan..harap halalkan..kalau tak, ana ni dah dikira melakukan kegiatan plagiarism..