LeaderHead

Wednesday, February 16, 2011

Mestikah Jodohnya Penzina Juga?

Ustaz, saya nak bertanya adakah seorang gadis yang pernah membuat zina, tetapi telah bertaubat dengan sesungguhnya. Adakah dia akan mendapat jodoh penzina juga. sedangkan dia benar-benar telah bertaubat dan berusaha menjadi wanita solehah.

Jawapan Ustaz :

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, jika seseorang sudah bertaubat dengan sebenar-benarnya (taubat nasuha), nescaya bukti nyata dan jelas akan hasil taubatnya yang tulen adalah dengan perubahan seluruh gaya hidupnya yang berkaitan hubungan lelaki dan wanita.

Jika seseorang mendakwa atau merasa diri sudah bertaubat, namun gaya hidup lamanya seperti :

  1. Rutin hubungan kawan dan rakan dengan lelaki masih aktif
  2. Masih keluar makan, berjalan berdua-duaan dengan lelaki samada urusan kerja atau peribadi
  3. Masih ber 'boyfriend' aktif dengan dating dan chatting intim di malam hari, cuma kononnya kali kini dengan seorang 'ustaz' atau seseorang yang 'jaga solat lima waktu'.

Jawapnya; peluang untuk mendapat suami penzina akan terbuka luas seperti dahulu..

Taubatnya mestilah dengan perubahan ketara dalam semua gaya hidup dan cara hubungannya dengan lelaki. Cara pakaiannya juga sepatutnya berubah, mungkin dari membuka aurta kepada tutup, dari tutup separa kepada tutup penuh, dari tudung glamour munafiq (hakikatnya membuka aurat) kepada tudung muslimah sejati.

Hanya dengan demikian, mata-mata lelaki soleh akan mula melihat dan masuk menghantar wakil kepada ibu bapanya.

Mata Lelaki Soleh

Mata lelaki soleh tidak ingin melihat kepada wanita yang bercampur baur dengan teman lelaki sekerja, 'bertepuk bertampar', bergurau senda, berdating sana sini dan berdua-duaan. Kecuali mata lelaki 'soleh' luarannya (penampilan fizikalnya) namun 'tidak soleh' dalamannya, mereka yang seperti ini akan terus berminat kepada mana-mana jenis wanita.

Lelaki Zina Untuk Perempuan Zina?

Akhirnya, Allah SWT berfirman : "Lelaki-lelaki yang berzina tidak akan mengahwini melainkan wanita yang berzina, atau wanita musrik dan wanita yang berzina tidak akan mengahwini lelaki kecuali yang berzina atau musyrik." (Surah An-Nur : 3)

Dalam ayat lain Firman Allah : "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.." ( Surah An-Nur : 26 )

Ayat di atas menyebabkan ulama berbeza pandangan dalam hal berkahwin dengan sesorang yang telah berzina. Ayat di atas secara sepintas lalu, kelihatan mengharamkan berkahwin dengan kumpulan penzina ini kecuali seorang penzina juga.

Walaubagaimanapun, menurut pandangan yang terkuat; hukum ayat di atas telah di 'nasakh' kan dengan ayat yang mengharuskan berkahwin dengan semua muslim dan muslimah yang masih boleh berkahwin. Iaitu ayat surah An-Nur ayat 32 . Ia adalah pandangan majoriti ulama. (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 6/112 ; cet Dar al-Kutub al-Ilmiah)

Perlu diingat juga, terdapat sesetengah keadaan Allah swt memberikan jodoh lelaki atau wanita 'jahat' kepada individu yang baik atau amat baik. Ia juga tidak bercanggah dengan ayat di atas.

Hikmah yang Allah Maha Mengetahui.. amat besar kemungkinan yang soleh tersebut berjaya menjadi lebih soleh dan musleh (membantu menjadikan seseorang itu menjadi soleh) apabila mendapat pasangan kurang baik. Lantaran pengaruh dan kekuatannya, hingga beliau menjadi semakin tinggi martabatnya di sisi Allah manakala pasangannya yang jahat menjadi soleh dan solehah.

Tatkala itu, pasangan individu kurang baik boleh sahaja menjadi anugerah terbesar buat sebilangan individu yang terpilih menjadi lebih baik dengannya.

Namun boleh berlaku juga sebaliknya, yang jahat bertambah ultranya, yang baik merudum jatuh. Nauzubillahi min zalik (semoga kita dijauhkan daripadanya).

No comments: