LeaderHead

Wednesday, October 27, 2010

Tak Mampu Kehilangan Cinta

Ketika kedua suami isteri itu baru berpindah ke bandar, hidup mereka penuh ceria, penuh dengan gurau mesra.

Ada masa makan bersama, ada masa solat berjemaah bersama.

Walaupun pendapatan masih kecil kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi, tetapi mereka mengharungi kehidupan dengan seadanya.

Sikap saling memahami dan bertimbang rasa jelas terpancar.

Di kejauhan malam atau pada awal pagi sudah kedengaran suara mereka berdua bergurau dan berbual dengan mesranya.

Minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu. Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dahulu semakin maju.

Untuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang. Manakala si isteri yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk.

Anak-anak pun semakin jarang bertemu dan berbual mesra dengan mereka berdua.

Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi keluarga bertambah baik.

Mereka telah berpindah dari rumah yang sempit ke rumah yang lebih luas. Sekarang keluarga itu telah memiliki kereta yang besar.

Bukan sebuah, tetapi dua buah – sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.

Entah kenapa, kemesraan yang dahulu semakin hilang.

Suami semakin leka dengan kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya. Manakala si isteri juga sibuk mempromosi produk jualannya.

Solat berjemaah, makan berjemaah yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan.

Apatah lagi untuk melihat suami memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan kemudian keluarga itu saling bermaafan bersama seperti dahulu... hampir tidak pernah lagi.

Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu.

Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa.

Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.

Keluarga tadi mendapat apa yang mereka cari kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumahtanga? Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumahtangga.

Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk membina sebuah keluarga yang bahagia?

Jika si suami ditanya, untuk apa kamu bertungkus-lumus bekerja siang dan malam?

Tentu jawabnya, kerana isteri aku! Begitulah juga jika ditanyakan kepada si isteri, tentu jawabnya kerana suami.

Dan jika ditanya kepada kedua ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya... demi anak-anak.

Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup?

Kita sering terlupa yang kemewahan hidup - harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini.

Kita memburu alat untuk mencapai matlamat.

Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita. Begitulah sewajarnya.

Namun, apa yang sering berlaku adalah kita sering tertukar. Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat.

Kebahagian rumahtangga sering jadi pertaruhan dan acapkali tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup.

Kita berkerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja. Kita tidak sedar. Kita terus memburu dan memburu.

Bangun dari tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang. Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah.

Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja 'part time'.

Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun.

Tiba-tiba kita tersentak, mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri?

Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami?

Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?

Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan. Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam profesionalisme.

Sedikit masa lagi, perniagaan ku semakin menjadi.

Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga. Nantilah, aku akan ini, aku akan ini...

Begitulah selalunya diri kita memberi alasan. Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan.

Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara, nantilah kita akan bahagia!

Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan.

Temuilah bahagia ketika kita mencarinya. Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya.

Carilah harta, tetapi genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan.

Hukum-Hukum Cinta

Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.

Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita.

Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat 'kosmetik' semata-mata. Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.

Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri.

Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri.

Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat.

Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah. Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.

Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan.

Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga.

Iman, kasih saying, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.

Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat.

Jadilah dunia umpama kebun yang kita pagar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat.

Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui.

Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ... ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan. Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.

Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduaniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan.

Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.

Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.

Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia.

Apakah neraka dunia itu? Nereka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar.

Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu.

Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti.

Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!

Lihatlah Rasulullah SAW. Betapa sibuknya baginda... tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya.

Betapa besar perjuangannya... tetapi masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya.

Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta... kerana baginda tidak kehilangan cinta.

Ketika baginda miskin... dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta. Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar... cinta Allah!

Ayuh Intai-Intai Semula

Justeru, intai-intailah semula cinta di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar? Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya? Apakah yang kita garap hingga kita sanggup menggadaikannya?

Ayuh, lihat kembali 'di mana Allah' dalam rumah tangga kita? Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah, di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran...

Di manakah semua 'ayat-ayat cinta' itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas, kereta yang semakin mahal, makanan yang semakin lazat, tabungan kewangan yang semakin banyak?

Dan pandang wajah isteri, renung wajah suami... tatap lama-lama.

Bila kita terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila?

Bukankah mata itu jendela bagi hati. Pertautan mata petanda pertautan hati?

Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati?

Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar menjadi 'haiwan berteknologi' dalam belantara dunia meterialisma yang semakin ketandusan cinta?

Lalu, di kejauhan destinasi ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya?

Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas berdakapan dengan hati yang terus berkata-kata, "inilah teman ku di dunia untuk menuju syurga!" Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.

Kita memburu tanpa sedar bahawa kitalah yang sebenarnya diburu.

Diburu oleh kesibukan yang tiada penghujung, keresahan yang tiada penawar. Kekosongan yang tidak dapat di isi. Kerana hati tanpa cinta... adalah hati yang mati!

Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu.

Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?

Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana.

Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta.

Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada?

Dan kemudian genggam erat tangannya. Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!

Alam Rumahtangga

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapanyalah (yang akan membentuk anak-anak itu) menjadi Yahudi, Nasrani atau pun Majusi".

Setiap orang mempunyai pandangan tersendiri tentang institusi perkahwinan.

Hal ini sudah semestinya mempunyai perkaitan rapat dengan istilah kekeluargaan.

Deskripsi perkahwinan secara umumnya adalah berkenaan penyatuan antara dua jiwa dalam meneruskan kehidupan yang berperanan untuk melahirkan pewaris di masa hadapan.

Dewasa ini, sering kedengaran tentang isu keruntuhan rumahtangga sama ada ia melibatkan golongan dikenali (public figure) mahupun di kalangan masyarakat setempat di sekeliling kita.

Perkataan 'kahwin' merujuk kepada ikatan atau pertalian keluarga yang dijalinkan melalui upacara tertentu dengan melibatkan dua pihak keluarga.

Namun pemahaman tentang institusi kekeluargaan itu sendiri tidak diambil berat menyebabkan pertelingkahan sehingga terputusnya jalinan atau pertalian keluarga.

Pelbagai ragam dapat kita lihat.

Secara umumnya perkahwinan bermakna pasangan suami dan isteri yang tinggal bersama-sama di bawah satu bumbung dan bersedia untuk berkongsi segala suka-duka yang bakal ditempuhi dalam meneruskan kehidupan.

Namun yang demikian, ada juga pasangan yang sudah berkahwin itu tidak dapat bersama atas masalah-masalah tertentu.

Perihal perkahwinan ini sebenarnya menuntut kita untuk mendalami serta memahami tentang kesungguhan dan kesediaan dalam membina sebuah institusi kekeluargaan.

Pengetahuan dari segi agama dan kemasyarakatan adalah amat penting sebelum sesebuah institusi perkahwinan itu dapat diteruskan dengan berkesan.

Persediaan dari segi rohaniah dan lahiriah adalah perkara asas yang perlu dititikberatkan sebelum seseorang individu itu memulakan institusi keluarga.

Persediaan rohaniah bermaksud pengetahuan tentang hukum-hakam dalam rumahtangga.

Seharusnya setiap individu itu perlu mengetahui dan memahami segenap perkara yang dituntut dan yang ditegah bagi memastikan institusi perkahwinan yang dibina itu terus teguh.

Jika pegangan agama itu kuat, insya-Allah institusi perkahwinan juga akan lebih utuh dan secara tidak langsung mentaliti tentang istilah sebenar dalam membina institusi perkahwinan juga akan lebih difahami.

Berbicara tentang kesediaan dari aspek lahiriah, kecergasan fizikal adalah perkara yang perlu diutamakan.

Kecergasan dari segi fizikal secara umumnya dapat menjamin dari segi kewangan.

Dalam institusi perkahwinan, isu berkaitan kewangan juga adalah suatu perkara yang menjadi faktor dalam aspek pengukuhan.

Dengan kewangan yang kukuh sesebuah institusi kekeluargaan yang dibina itu juga bakal menemui kebahagiaan.

Namun harus diingat, dalam memenuhi tuntutan ini, kita harus peka akan sumber pencarian kita itu diperoleh dari sumber yang benar dan halal.

Jangan terlalu leka dalam pencarian duniawi sehingga melupai hal-hal yang membawa keberkatan.

Mari kita renungi bersama.

Dalam membina sesebuah institusi keluarga yang diredhai, kita harus sedar bahawa kita sebenarnya menjalankan serta menunaikan satu kewajipan berupa amanah daripada Yang Maha Esa.

Pembentukan sesebuah institusi keluarga itu akan terus berkesinambungan dari generasi ke generasi.

Pendidikan tentang membina keluarga yang bahagia harus ditekankan dalam diri anak-anak yang bakal mewarisi perjalan kehidupan ini.

Di sini dapat kita lihat bahawa peranan ibubapa itu amat penting dalam mendidik zuriat kurniaan Ilahi agar mementingkan keutuhan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Sekian.

"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah S.W.T. telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka, maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah orang yang taat (kepada Allah S.W.T. dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suaminya tiada bersamanya, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongannya..." - Surah An-Nisa' ayat 34

Syurga bagi isteri itu terletak di bawah telapak kaki suami.

"Tanpa Keberanian, Mimpi Takkan Bermakna".

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."

Panduan Memilih Jodoh

Mencari pasangan hidup bukan mudah. Pasangan hidup maknanya pasangan untuk hidup bersama, bukan sekejap.

Jika umur panjang mungkin bersama sehingga 50 tahun.

Bangun bersama, makan bersama, berbual bersama, tidur bersama.

Berkongsi anak, berkongsi rumah, berkongsi rasa, berkongsi kasih.

Maka, mencari pasangan hidup ini memang perkara serius. Serius. Memang serius.

Jangan akibat si dia mengurat anda, maka anda terus terpesona dan bersetuju. Jangan semata si dia comel atau glamour, maka anda terus mengambilnya.

Fikir betul-betul. Solat istikharah dan banyakkan berdoa. Selagi belum tenang jiwa, tunggu dulu. Usah tergopoh gapah. Mencari jodoh, perlukan panduan. Perlu ada sandaran ilmu dan petunjuk.

Dalam banyak-banyak penulisan saya suka memetik sebahagian dari artikel Ust Hasrizal (Abu Saif) dalam lamannya SaifulIslam.com.

Antara yang menarik tulisan berikut:

Hadis Nabi SAW yang diulang-ulang sebagai slogan memanifestasikan keinginan berumahtangga.

Bukan tidak banyak penjelasan tentang hadis ini di pelbagai sumber maklumat yang ada. Tetapi sering anak muda kecundang dalam mengimbangkan kefahamannya dalam konteks TEPAT dan JELAS.

Selagi mana tidak tepat, selagi itulah jalannya tersasar ke sana sini. Kehidupan yang tidak ditentukan arahnya, adalah kehidupan yang tidak tentu arah.

Apa Tujuan Berumahtangga?

"Begin with the end in mind", adalah slogan kita untuk menepatkan matlamat kehidupan dan segenap peringkat perjalanannya.

Soal menentukan matlamat yang tepat, tidaklah begitu susah.

Berkahwin kerana harta? Harta bukan sumber bahagia.

Donald Trumph yang kaya raya itu pun pernah mengeluh dalam temubualnya bersama John C. Maxwell, "aku melihat ramai orang yang lebih gembira hidupnya dari hidupku.

Padaku mereka itulah orang yang berjaya. Tetapi semua orang mahu menjadi aku"

Harta bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana keturunan? Keturunan bukan jaminan sumber bahagia.

Syarifah hanya boleh berkahwin dengan Syed? Puteri hanya layak untuk Megat?

Atau pantang keturunan berkahwin dengan ahli muzik bak kata Mak Dara?

Soal keturunan bukan penentu mutlak kerana setiap manusia lahir dengan fitrah yang satu dan murni, lantas setiap mukallaf dan mukallafah mampu kembali kepada kemurnian itu, biar pun lahir ke dunia tanpa bapa yang sah sekali pun.

Keturunan bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

Berkahwin kerana kecantikan? Ahh, yang ini rumit barangkali.

Cinta itu dari mata turun ke hati. Maka mata pemutus pertama.

Jika berkenan di mata, mudahlah mata memujuk hati.

Tetapi selama mana kecantikan menyenangkan kehidupan?

Kecantikan, biar secantik mana pun, akan pudar dengan perjalanan masa. Kecantikan, biar secantik mana sekali pun, boleh dicabar oleh naluri manusia yang mudah kalah dengan alasan JEMU.

Mahu berkahwin sementara cantik, dan buang selepas cantik dan kacak bergaya itu dimamah usia?

Cantik bukan sumber bahagia, ia bukan matlamat atau pertimbangan utama dalam menentukan pemilihan pasangan.

"Maka pilihlah yang memiliki agama... nescaya sejahtera hidupmu", pesan Nabi SAW.

Benar sekali, pilihlah yang beragama.

"Maka saya kena kahwin dengan ustazah, saya kena kahwin dengan ustaz!", kata seorang pelajar 'bidang bukan agama'.

Penyakit "Tidak Jelas"

Setelah begitu tepat sekali kita menolak harta, keturunan dan rupa paras sebagai sebab untuk memilih pasangan, tibalah kita kepada masalah paling besar menguruskan fikiran tentang perkahwinan, iaitu penyakit "tidak jelas", apabila tiba kepada soal beragama.

Apakah yang memiliki agama itu mesti seorang yang ustazah atau ustaz?

Maka berkahwin dengan golongan ini, jaminan bahagia. Benarkah begitu?

Di sinilah penting untuk kita bezakan golongan yang TAHU agama, MAHU beragama dan MAMPU dalam beragama.

Soal mendapatkan ilmu sebagai jalan beragama, adalah prinsip besar di dalam Islam. Lihat sahaja langkah pertama proses wahyu, ia bermula dengan perintah BACA sebagai wasilah menggarap pengetahuan.

Tetapi apakah TAHU itu merupakah maksud kita beragama dengan agama Islam ini?

Sejauh mana gred 'A' yang digarap dalam subjek "PengeTAHUan Agama Islam" menjadi bekal dan perisai generasi Muslim dalam beragama?

"Yang memiliki agama" itu lebih luas dari sekadar sempadan tahu agama. Ia adalah soal MAHU yang menjadikan pengetahuan agama itu dihayati, dan MAMPU dalam erti dia sentiasa bermujahadah untuk memperbaiki diri.

Maka janganlah disempitkan maksud mencari yang beragama itu hanya pada mereka yang berlabelkan "jenama TAHU agama" tetapi apa yang lebih penting adalah mereka yang MAHU dan terbukti pada perbuatan hariannya dia sentiasa berusaha menuju MAMPU.

Dia mungkin seorang ustazah.
Dia juga mungkin seorang jurutera dan doktor.
Dia mungkin bertudung labuh.
Dia juga mungkin belum bertudung tetapi sentiasa mencari jalan untuk menuju kesempurnaan kebaikan. Dia seorang yang membuka dirinya untuk dibimbing dan diajar. Seorang yang 'teachable".

Hanya 'Beragama'?

Ada pula yang menyangka bahawa kebahagiaan rumahtangga itu terletak pada beragamanya pasangan kita. Soal harta, keturunan dan rupa paras tidak punya sebarang makna.

Maka jadilah seorang perempuan itu fasih lidahnya tentang agama dan rapi pakaiannya sebagai isyarat dia beragama, tetapi dia tidak mengetahui nilai harta.

Dia boros dan tidak bijak menguruskan harta rumahtangganya.

Dia nampak elok beragama, malah mungkin seorang pejuang agama, tetapi dia tidak peduli nilai keturunan dan kekeluargaan.

Dia tidak menghargai keluarganya sendiri, tidak menghargai keluarga suami atau juga keluarga isteri.

Padanya, soal keluarga dan keturunan bukan urusan agama.

Dia bijak dalam memperkatakan tentang agama, tetapi dia menjadikan alasan agama untuk tidak peduli kepada penampilan diri. Pakaiannya selekeh atas nama agama, kulitnya tidak dijaga bersih, beralasankan agama.

Jika perempuan, dia tidak peduli untuk mewangikan diri atau bersolek mengemas diri, kerana padanya itu semua bukan kehendak agama, dan si suami menikahinya bukan kerana itu.

Saban hari mukanya bertepek dengan bedak sejuk dan tubuhnya bersarung baju kelawar. Hambar..

Jika lelaki, dia biarkan diri selekeh dan sentiasa berkemban di dalam kain pelekat dan baju pagoda, membiarkan bau peluh jantannya tidak berbasuh, kerana semua itu tiada kena mengena dengan agama.

Jadilah agama, sebagai alasan untuk sebuah rumahtangga itu menjadi rumahtangga terhodoh, terburuk dan terselekeh... atas nama berkahwin kerana beragama.

15 Ciri Wanita Syurga

1. Bertakwa.

2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.

3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.

4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.

5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.

7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.

15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.

Sunday, October 10, 2010

Memaafkan dan Melupakan Kecurangan

Perit sekali apabila diri dicurangi. Perasaan itu bagaikan menusuk seluruh jiwa dan raga. Hati pula, tertanya-tanya mengapakah harus ianya terjadi. Hanya insan yang pernah dicurangi bisa merasakan perasaan itu, bisa memahami segalanya. Sehinggakan ada yang nekad untuk membalas dendam, dan membunuh diri serta melakukan pekara yang dilarang agama.

Mengapakah insan, sanggup melakukan kecurangan? Sedangkan insan mempunyai akal dan fikiran untuk membezakan apa yang baik dan tidak. Tidakkah mereka takut akan pembalasan? Sungguh meyedihkan kerana wujudnya insan sebegini.

Insan, megertilah bahawa setiap yang terjadi mempunyai hikmah tersendiri. Hikmah yang cukup indah yang bisa menyembuhkan luka di hati. Sinar cahaya akan tiba tanpa kita sedari. Yakinlah bahawa, Allah tidak akan memberi dugaan dan ujian pada hambanya di luar kemampuan hambanya itu sendiri.

Setelah dilukai, pasti susah untuk kita memaafkan dan menerima kembali pasangan kita itu, apatah lagi untuk melupakan kecurangan tersebut. Namun, kita haruslah beringat bahawa memaafkan seseorang adalah perkara yang mulia. Dan kita sebagai manusia biasa tidak layak untuk menghukum apatah lagi tidak memberi kemaafan. Sedangkan Allah Maha Pengampun, inikan kita hambanya. Untuk memberi hukuman, jauh sekali. Kita serahkan pada Allah yang Maha Adil.

Kita mungkin dapat memberi kemaafan pada setiap kecurangan, namun untuk melupakannya mungkin mustahil. Apa yang patut kita lakukan adalah memberi peluang, menjadikan perkara tersebut sebagai ikhtibar serta berdoa. Ingatlah, kita ada Allah. Allah adalah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu dan berharap. Allah tidak akan mengecewakan kita.

JANGAN BERSEDIH…

REMEMBER THAT, YOU DESERVE BETTER!!!

Jika Aku Jatuh Hati

Bismillahirrahmanirrahim…

Ya Allah…
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya PadaMu,
Agar bertambah kekuatanku untuk mencintaiMu…

Ya Muhaimin…
Jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu…

Ya Rabbana…
Jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku padanya,
Agar tidak berpaling daripada hatiMu…

Ya Rabbul Izzati…
Jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang,
Yang merindui syahid di jalanMu…

Ya Allah…
Jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan itu melebihi kenikmatan indahnya,
Bermunajat di sepertiga malam terakhirMu…

Ya Allah…
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh,
Dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…

Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas,
Sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu…

Amin ya rabbal alamin…