LeaderHead

Sunday, September 26, 2010

Bertudung Atau Berfesyen?

Bertudung atau Berfesyen? Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya.

Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.

Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum.

Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.

Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.

Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan.

Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna.

Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya.

Juga ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik.

Malah labuci warna-warni dijahit pula di atasnya.

Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.

Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.

Sombong makin bertambah, lalu jalan mendabik dada.

Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya.

Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan.

Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia.

Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan.

Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang.

Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki.

Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas.

Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya.

Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.

Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam.

Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung.

Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan.

Sekian, wassalam.

Duhai Hawa Sanggupkah Anda Bermadu?

Kenapa wanita enggan berpoligami?

Ramai dan kebanyakan isteri paling fobia dengan istilah 'madu', mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk meminta pertolongan bomoh dan melakukan perbuatan khurafat asalkan diri tidak di dua tiga atau empatkan (dimadukan).

Sesungguhnya, 'mengharamkan' dan membenci apa yang dihalalkan oleh agama secara tidak lansung bermakna kita mengingkari suruhan agama. Ini boleh mengundang dosa.

Mungkin ramai yang tidak menyedarinya dan mungkin juga ada yang sedar, tapi berpura-pura tidak tahu, malahan memberi pelbagai alasan dan masih lagi ingin menolak sekeras-kerasnya poligami.

Kenapa para isteri menolak poligami?

Antara faktor utama adalah persekitaran, masyarakat sering menggambarkan perkara yang negatif apabila melibatkan soal poligami, tak kurang ramai yang mencemuh dan memandang serong apabila wanita dimadukan atau bermadu.

Isteri kedua, ketiga dan keempat sering dituduh sebagai perampas, dan sering didoakan agar pernikahan tidak berkekalan.

Siapa yang sanggup terjun ke 'lombong cemuhan dan fitnah?, mungkin ada tapi tak ramai yang sanggup menahan telinga mendengar cemuhan dan kutukan dari masyarakat.

Faktor media dan pengalaman dari mereka yang pernah bermadu, sering menggambarkan hidup yang penuh dengan derita, sengsara dan tunggang langgang setelah bermadu menjadi antara faktor mereka enggan bermadu.

Jarang lelaki dapat berbuat adil dengan isteri-isteri mereka, kerana selalunya niat mereka berpoligami serong, bukan kerana Allah tapi kerana tuntutan nafsu semata-mata, maka, bila nafsu mengawal diri, pasti pincanglah sesuatu institusi.

Ada suami mengabaikan nafkah zahir dan batin isteri pertama setelah ada pengganti yang baru, lebih menyedihkan, isteri pertama di aniaya dan anak-anak menjadi mangsa.

Lelaki sering menjadikan 'Sunnah Nabi' sebagai alasan untuk berpoligami namun malangnya suruhan serta tuntutan Nabi dan agama yang lain-lainnya ditolak tepi dan diabaikan.

Sudahnya, meranalah seluruh isi keluarga. Kebahagiaan yang ingin dikecapi sebaliknya derita yang diperolehi.

Dan mungkin juga, ada satu pihak menangis demi membahagiakan pihak yang lain.

Isteri juga enggan bermadu kerana ada di antara mereka terlupa bahawa setiap apa yang kita miliki di dunia ini adalah semuanya pinjaman dari Dia yang Esa.

Mereka yakin dan percaya, suami adalah hak milik isteri.

Apabila ini terjadi, mereka takut kehilangan hak milik mereka apatah lagi berkongsi hak milik dengan wanita lain.

Emosi yang sembilan gagal dikawal akal yang satu, lalu sering terjadi, mereka lebih rela diceraikan daripada dimadukan. Kedua-duanya halal, tapi satu dibenci dalam Islam dan satu lagi dituntut jika kena caranya.

Namun masih ramai yang tidak menerima secara positif.

Syaitan sudah bersumpah untuk membawa anak cucu adam bersama mereka ke neraka kelak, maka syaitan sentiasa berusaha untuk menyesatkan dan memberi perkhabaran palsu kepada manusia.

Syaitan sering membisikkan perkara-perkara yang negatif ke dalam diri manusia maka siapa yang tidak kuat imannya sering tergoda dan terpengaruh.

Malah percaya dengan bisikan syaitan lalu takut dan ragu-ragu untuk berbuat kebaikan dan ketaatan kepada Allah malahan bersenang hati untuk melakukan kejahatan yang bertentangan dengan tuntutan Agama.

Selain itu, manusia sering dihidapi penyakit rohani atau penyakit hati yang sukar di lihat apatah lagi untuk di ubati.

Antara penyakit hati yang paling merbahaya adalah 'keras hati'.

Dimana mereka tidak takut atau gerun bila melakukan kejahatan dan tidak pula berasa seronok bila melakukan ketaatan kepada Allah.

Penyakit hati yang lain pula antaranya adalah tamak, dengki, cemburu, iri hati.

Dan adakalanya, apabila penyakit ini kian parah, mereka sanggup menganiaya manusia lain pula.

Maka, kerana adanya penyakit hati ini, tak ramai antara kita yang sanggup mengambil risiko bermadu atau dimadukan.

Kesimpulannya

Demikianlah antara faktor kenapa kebanyakan wanita enggan berpoligami. Seandainya, punca-punca itu dapat di kikis atau dibuang, nescaya, para isteri tidak lagi gentar dengan istilah bermadu.

Jika semuanya baik lelaki atau wanita sedar hakikat sebenar sebuah pernikahan, insyaAllah, walau apa jua ujian dan dugaan mendatang, sesebuah institusi kekeluargaan itu pasti tetap akan berdiri kukuh.

Pernikahan adalah ibarat sebuah bahtera yang berlayar dilautan luas.

Suami adalah nakhoda dan isteri (isteri-isteri) adalah pembantu.

Jika nakhoda itu bijak mengemudi kapal, bistari mengawal anak-anak kapal, berfikir sebelum membuat sebarang keputusan, tahu arah yang ingin dituju tanpa was-was, InsyaAllah kapal tidak akan sesat dan selamat sampai ke destinasi yang ingin di tuju.

iluvislam.com

Namun, harus diingatkan juga, tanpa bantuan dan persefahaman dari pembantu kapal, bahtera itu mungkin berada statik tiada kemajuan atau lebih teruk dari itu, bahtera itu mungkin akan karam.

Hancur dan musnah.

Dalam pernikahan, mesti ada tolak ansur, perlu ada give and take. Baik isteri mahupun suami haruslah saling menghormati dan saling menghargai. Harus ada yang mendengar bila satu pihak bercerita dan begitu pula sebaliknya.

Perhubungan dua hala adalah penting. Komunikasi antara suami isteri serta anak-anak perlu dijaga, agar jika ada sebarang masalah yang timbul, dapat dibincangkan dan diselesaikan dengan baik.

Lebih penting dari itu, niat bernikah juga kena betul.

Jangan diselewengkan. Jika niat ikhlas kerana Allah dan agama, insyaAllah walau apa jua dugaan mendatang, tiada apa yang mampu menggoyahnya.

Tidak kira suami bernikah satu atau empat, jika asas agama adalah kukuh, kebahagiaan dalam berumah tangga sedikit pun tidak akan goyah.

Hidup di dunia sementara, kehidupan di akhirat itu kekal abadi. Jadi, harus disematkan dalam diri dan jiwa, cita-cita yang paling utama adalah bahagia di syurga kerana itulah yang paling abadi.

Kita manusia hanya merancang, namun Allah jualah yang Maha Mengetahui. Dalam apa jua tindakan atau keputusan yang diambil, mohonlah petunjuk dari Ilahi. InsyaAllah selamat dunia dan akhirat.

"Madu jangan terus ditelan, hempedu jangan terus dibuang, kerana di sebalik manis dan pahit itu, mungkin ada racun atau penawar yang tersembunyi. "

Tuesday, September 21, 2010

Dosa Tinggal Solat Lebih Besar Daripada Zina

Pada satu senja yang lengang, kelihatan seorang wanita berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang. Pakaiannya yang serba hitam menunjukkan dia dicengkam kesedihan manakala kerudungnya menutup rapat hampir seluruh wajahnya.

Walaupun tidak bersolek atau memakai perhiasan lain di tubuhnya, kulitnya yang bersih, memiliki tubuh yang ramping dan rona wajah yang ayu, tetap tidak dapat menghapuskan kepedihan yang sedang membelenggu hidupnya.

Dia melangkah perlahan-lahan mendekati rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Apabila terdengar ucapan ‘silakan masuk’ dari dalam, wanita cantik itu melangkah masuk sambil kepalanya terus tertunduk.

Air matanya berderai ketika dia berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah saya, doakan saya supaya Tuhan berkenan mengampunkan dosa keji saya,” “Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut. “Saya takut mengatakannya,” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah, jangan ragu-ragu,” desak Nabi Musa.

Lalu wanita itu memulakan cerita, “Saya….telah berzina.” Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari penzinaan itu, saya pun…. hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya…cekik lehernya sampai…mati,” cerita wanita itu sambil menangis sekuat-kuat hati.

Mata Nabi Musa berapi-api dan dengan muka yang berang, dia mengherdik, “Perempuan jahat, nyah kamu dari sini! Supaya seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan muka kerana jijik.

Mendengar herdikan itu, wanita itu pun segera bangun dan berlalu dengan hati yang hancur luluh. Ketika keluar dari rumah Nabi Musa, ratapannya amat memilukan. Dia terfikir ke mana lagi dia hendak mengadu kerana apabila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang betapa besar dosanya dan jahat perbuatannya.

Tetapi dia tidak tahu bahawa sepeninggalannya, Malaikat Jibril turun berjumpa Nabi Musa. Lalu Jibril bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang lebih besar daripadanya?”

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?” tanya Nabi Musa kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?” “Ada,” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Nabi Musa lagi. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita itu untuk menghadapnya semula. Dia mengangkat tangan dengan khusyuk untuk memohon ampunan kepada Allah S.W.T untuk wanita itu.

Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Bererti, dia seakan-akan menganggap remeh perintah Allah, bahkan seolah-olah menganggap Allah tiada hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.

Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dalam dada, yakin bahawa Allah S.W.T itu ada dan berada di jalan ketaatan kepadaNya. Itulah sebabnya Allah pasti mahu menerima taubatnya.

Perigi Timba Sama Mencari

"Sekarang lepas habis degree, nak buat apa pula? Nak kerja atau sambung lagi buat master?," saya bertanya.


Pada malam itu, alhamdulillah, diizinkan oleh Allah s.w.t. sempat bertukar khabar, bertanya berita kepada seorang kenalan yang berstatus kakak, yang saya kenal hampir 15 tahun silam. Beliau juga antara insan yang saya amat kagumi dan hormati. Akhlaknya baik dan dalam bidang akademik, mendapat anugerah dekan itu biasa. Mantap pokoknya.


"Akak rasa nak jadi pensyarah. Kebetulan habis degree, pihak universiti tawar sambung master. InsyAllah kakak rasa nak sambung master," jawab beliau. Dengan keputusan yang cemerlang, bukan satu hal yang sukar untuk mendapat tawaran ini. Walaupun dengan usia yang muda, seawal 25 tahun.


"Ngomong-ngomong, sekarang sudah masuk umur 25. Sudah ada calon belum kak?," saya cuba mencuit dengan nada bercanda.


"Erm, itu yang akak nak cerita dan minta pendapat Ami ni."


"Owh... beres. Ceritalah... kalau boleh saya bagi pandangan, ya saya bagi. Jika tak boleh, sekurang-kurangnya menjadi pendengar yang baik," jelas saya.


"Ada seorang yang suka pada akak, tapi akak tak berapa berminat kerana akhlaknya tak bagus. Jadi akak tolaklah."


"Bagus, seharusnya macam itulah," komentar saya. Menambah rancak perbualan.


"Itu tak apa lagi. Akak tak kisah pun. Cuma sekarang, bimbang juga, dengan umur sudah masuk 25, tambah pula nak sambung master. Tak ramai lelaki yang berani," jelas beliau.


Sudah menjadi polemik dalam kalangan masyarakat apabila kita bercerita tentang dua kutub insan ini, faktor akademik dan taraf hidup menjadi permasalahan.


Wanita ramai di pusat pengajian awam, lelaki ramai di pusat serenti. Wanita ramai mencari ijazah, lelaki ramai berusaha menjadi jenazah. Dijalan raya yang "lurus". Itu baru dibuka cerita hal kelayakan duniawi, belum bersembang bab kelayakan akhirat. Susut, paras kritikal.


Lantas kebimbangan yang dikongsi itu, sebenarnya wajar dan tidak dapat tidak, kita harus mengakuinya. Ralit masyarakat kita, umur 25 tahun, adalah umur yang paling "cun" untuk melangkah ke alam sana. Menghampiri ke umur itu, cukup mendebarkan buat si gadis. Saya mengerti.


"Jadi sampai sekarang, tak ada lagi lah lelaki yang masuk merisik khabar?" tanya saya.


"Erm, belum ada. Cuma macam ni, akak ada berkenan dengan seorang lelaki ini. Baik perangai dan insyallah
soleh. Cuma itu di peringkat akak, jika dia, akak belum tahulah bagaimana."


"Jadi nak minta pandangan Ami, macam mana nak buat?" tanya beliau.


Mainstream Masyarakat



Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga meminang si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam, apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari firman tertinggi, ayat-ayat cinta, al-Quran dan sunnah!


Apabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan kabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat.


"Apa kata, akak yang mulakan dulu. Maksud saya akak yang merisik lelaki tu?" cadangan "ganjil" saya.


"Ish Ami... seganlah. Tak buat dek orang," pintas beliau.


Ya... perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat, hubungan membina keluarga Muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala.


Ada sirah mentafsirkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri. Lupakah kita dengan kisah cinta Murabbi Cinta kita, Rasulullah s.a.w. dengan wanita syurga, Siti Khadijah. Dalam kisah cinta, cinta terbaik yang harus kita umat akhir zaman contohi sudah semestinya baginda. Ini membuktikan, pinangan itu bukan satu talian kehidupan yang bersifat satu hala, tetapi boleh bertukar menjadi dua hala. Tergantung keadaan dan masa.


Seganlah!


Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup umat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit. Menyusahkan.


Yang wajib, tidak dibuat.

Yang sunat, dilihat wajib.
Yang haram, itu dipertahan!



Sebenarnya, ada sesetengah adat dan syariat yang boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan di hadapan sekali hatta pedang di leher sekalipun.


Kebenaran itu di zaman ini dilihat asing dan janggal di mata masyarakat. Justeru menjadi "cicak yang pekak" amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!


Cara Menghubung



"Habis tu macam mana akak nak buat? Takkan akak nak jumpa dia, tanya nombor telefon keluarga dia... aneh la dan malu lagi," jelas beliau.


"Haa.. ada caranya dan malu itu tandanya ada iman," pintas saya.


Sering kita, malu itu malu tidak bertempat. Ramai wanita ke pusat membeli-belah dengan menayang pusat, bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim, keluar malam tak ingat dunia, berpeleseran di tempat awam tanpa segan dan malu. Buta hujung, buta pangkal.


Mahu meminang lelaki yang baik untuk diri sendiri? Ah... malu. Malu tidak bertempat.


Jika melamar lelaki itu dibenarkan syariat, kenapa tidak?


"Saya cadangkan, akak risik dia melalui orang tengah. Orang tengah ini bukan sebarang orang boleh jadi. Dia harus orang yang amanah dengan rahsia dan baik akhlaknya. Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik di dunia, Rasulullah s.a.w. juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita," terang saya.


"Biasanya, orang tengah itu siapa?"


"Biasa orang tengah itu, pasangan yang sudah bernikah. Dan pasangan ini baik antara akak dan lelaki itu. Jadi akak boleh sampaikan hasrat melalui isteri, dan akan disampaikan ke lelaki itu melalui si suami."


"Menarik... tapi itulah segan juga tu. Macam tak laku pula."


"Biar memilih, asal jangan salah pilih. Pernikahan, bukan untuk sehari dua. Kita cuba untuk selamanya. Tempat kita mencari ketenangan. Tak laku, low class atau segala macam title yang diberikan, semuanya sekadar kata manusia. Biar di pandangan manusia low class, tetapi Allah lihat kita hamba yang high class."


"Hurmm..."


"Pandangan kita, gadis bertukar pasangan sekerap menukar lampin bayi, itu
high class, hot stuff. Dibawa ke hilir jantan ini, dibawa ke hulu jantan ini. Itulah "gadis laku" di zaman kita. Jika begitulah, biar tak laku pun apa. Allah lebih mengetahui," saya memberi semangat.


"Cuma satu lagi akak bimbang, macam mana kalau pinangan ditolak lelaki tu? Malulah."


"Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, insyallah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Apa-apa pun, doa, usaha dan tawakal itu kuncinya," jawab saya.


Perigi mencari timba atau timba mencari perigi, masih dalam lingkungan kaedah. Dan jangan kita terlupa core bisnes kita di dunia. Sudah solehkah kita? Sudah solehahkah kita? Dengan menyelesaikan persoalan tentang diri kita, urusan si dia, dengan izin Allah dipermudahkan.


Lelaki baik, untuk wanita baik. Wanita baik, untuk lelaki baik. Itu sifir Ilahi! Itu firman tertinggi! Mahu kita percaya? Tidak perlu dijawab, tanyalah iman!


"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)."
(Surah An-Nur:26)

Monday, September 20, 2010

Rasulullah S.A.W Suami Contoh

Kebahagiaan keluarga merupakan tunjang bagi kejayaan seseorang. Melalui keluarga akan nanti melahirkan ulama, cendiakawan, usahawan atau pimpinan yang unggul.

Suami dalam keluarga memainkan peranan penting dalam memimpin seisi keluarga. Melalui kepimpinan suami itulah mempengaruhi kejayaan dan kebahagiaan sebuah keluarga.

Bagaimanakah ciri-ciri suami yang berjaya?

Bagi menjawab persoalan ini kita perlu menyelusuri sirah Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami yang berjaya malah Baginda(SAW) mempunyai ciri-ciri suami idaman seluruh wanita.

Ciri-ciri tersebut termasuk:

1- Menyayangi isteri dengan sepenuh hati

Rasulullah s.a.w. menyayangi Sayidatina Khadijah r.a. dengan sepenuh hati kerana isterinya merupakan satu nikmat Allah terbesar yang dikurniakan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda(SAW) amat menyayanginya kerana:

Sayidatina Khadijah R.A tinggal bersama Baginda(SAW) selama suku abad dan mereka sama-sama merasai saat-saat suka duka.
Dia membantu Baginda(SAW) ketika suasana yang getir dan sukar.
Dia sama-sama membantu Baginda(SAW) menyebarkan risalah Allah.
Dia menyertai Baginda(SAW) dalam jihad menegak agama Allah.
Dia mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia, (Sayidatina)Khadijah r.a beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku, dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakanku, dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku.” (Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad 6/118)

2- Romantik

Rasulullah s.a.w. juga merupakan seorang yang romantik. Bagaimana romantiknya Rasulullah(SAW)?

Tidur bersama isteri dalam satu selimut – Daripada Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Sayidatina Aisyah r.a., selalu mandi bersama dalam satu bekas. Dan pernah suatu ketika Baginda(SAW) tidur dengan Sayidatina Aisyah r.a dalam satu selimut, tiba-tiba Sayidatina Aisyah r.a bangun. Baginda(SAW) kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangun?” Jawab Sayidatina Aisyah r.a, “Kerana saya haid wahai Rasulullah(SAW),” Sabda Rasulullah(SAW), “Kalau begitu, pergilah dan pakaikan kain dan dekatlah kembali kepadaku.” Sayidatina Aisyah r.a pun masuk, lalu berselimut bersama Baginda(SAW).” (Riwayat Sa’id bin Manshur)

Saling memakaikan wangian –Sayidatina Aisyah r.a berkata: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyakkan badannya, Baginda(SAW) akan memulai dengan auratnya, menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri Baginda(SAW) meminyakkan bahagian lain daripada tubuh Rasulullah s.a.w.” (Riwayat Ibnu Majah)

Mandi bersama isteri – Daripada Sayidatina Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku pernah mandi bersama Nabi s.a.w., menggunakan satu bekas. Kami bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bekas tersebut).” (Riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Minum menggunakan bekas yang sama – Daripada Sayidatina Aisyah r.a. dia berkata, “Saya pernah minum daripada cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi(SAW) mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda(SAW) minum. Kemudian saya mengambil cawan tersebut lalu menghirup airnya, kemudian Baginda(SAW) mengambilnya daripada saya, lalu Baginda(SAW) meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda(SAW) pun menghirupnya.” (Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Manshur)

Membelai isteri – “Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah berlalu setiap hari melainkan Baginda(SAW) mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang Baginda(SAW) menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama (bersetubuh) sehingga Baginda(SAW) singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda(SAW), lalu Baginda(SAW) bermalam di sana.” (Riwayat Ahmad)

Mencium isteri – Daripada Hafshah, puteri Sayidina Umar r.a. : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Riwayat Ahmad)

Berbaring di pangkuan isteri – Daripada Sayidatina Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian Baginda(SAW) membaca al-Quran.” (Riwayat Abdurrazaq)

Panggilan mesra – Rasulullah s.a.w. memanggil Sayidatina Aisyah r.a dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti Aisy dan Humaira‘ (si pipi merah delima).
Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra – Nabi s.a.w. memicit hidung Sayidatina Aisyah r.a. sekiranya dia marah dan Baginda(SAW) berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: “Wahai Tuhanku, Tuhan (Nabi)Muhammad(SAW), ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Riwayat Ibnu Sunni)

Memberi hadiah – Daripada Sayidatina Ummu Kaltsum binti Abu Salamah r.a, dia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. berkahwin dengan Sayidatina Ummu Salamah r.a, Baginda(SAW) bersabda kepadanya: “Sesungguhnya aku hendak memberikan hadiah kepada Raja Najasyi sepersalinan pakaian dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui bahawa Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Benarlah keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda(SAW), lalu Baginda(SAW) memberikan kepada isteri-isterinya sebotol minyak kasturi, manakala baki daripada minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda(SAW) beri kepada Sayidatina Ummu Salamah r.a.” (Riwayat Ahmad)

3- Menghormati dan menjaga perasaan isteri

Rasulullah s.a.w. merupakan seorang suami yang sentiasa menghormati dan menjaga perasaan isterinya. Suatu ketika, ketika Rasulullah(SAW) hendak melaksanakan solat malam, Baginda(SAW) mendekati isterinya Sayidatina Aisyah r.a. Sayidatina Aisyah r.a berkata: “Di tengah malam Baginda(SAW) mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku Baginda(SAW) berbisik, “Wahai (Sayidatina)Aisyah(R.A), izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

4- Tidak berkasar dan berlemah lembut dengan isteri

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. bahawa pada suatu hari salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirimkan kepada Rasulullah(SAW) yang sedang berada di rumah Sayidatina Aisyah r.a. Tiba-tiba Sayidatina Aisyah r.a dengan sengajanya menjatuhkan makanan itu sehingga piring tersebut pecah dan makanannya jatuh berderai. Melihat sikap Sayidatina Aisyah r.a tersebut, Rasulullah s.a.w. tidak berkasar dengan Sayidatina Aisyah r.a sebaliknya dengan lemah lembutnya Baginda(SAW) meminta Sayidatina Aisyah r.a menggantikan makanan tersebut.

5- Membantu isteri

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Sayidatina Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika berada di dalam rumahnya? Maka Sayidatina Aisyah r.a menjawab: “Rasulullah s.a.w. sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda(SAW) keluar untuk solat.”

Demikianlah beberapa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menunjukkan akhlak yang sangat mulia. Kepulangan Rasulullah s.a.w. ke rumah bukan sekadar untuk beristirehat dan bermesra dengan ahli keluarganya sahaja. Bahkan, Baginda di rumahnya juga adalah untuk membantu isterinya menguruskan rumah tangga. Inilah yang Baginda(SAW) lakukan walaupun mempunyai tugas dan tanggungjawab di luar rumah.

Kesimpulannya, kita perlu mencontohi akhlak dan keperibadian Baginda(SAW) tersebut. Sesibuk-sibuk kita, tidak seperti sibuknya Rasulullah s.a.w. Setinggi-tinggi pangkat kita di tempat kerja, tidaklah setinggi pangkat dan darjat Rasulullah s.a.w. Maka apakah yang menghalang kita daripada membantu meringankan tugas dan urusan isteri kita di rumah?

Betapa besarnya pengorbanan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang suami terhadap isterinya. Maka sebagai seorang suami, contohilah sikap Baginda(SAW) ini ketika bermuamalah bersama isteri. Manakala buat para isteri, ingatkan suami anda tentang ciri-ciri suami idaman. Semoga berbahagia bersama pasangan anda. Semoga bertemu cinta hakiki di-dunia & InsyaAllah biarlah sampai ke akhirat.

“Ya Allah perindahkanlah akhlak ku seperti mana indahnya akhlak Rasulullah SAW …. Amin”

Saturday, September 4, 2010

Wajah sebenar rumah tangga Islam

Nikah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang sangat sinonim dengan kita. Pernikahan juga merupakan ikatan yang sangat kuat yang dalam istilah al-Quran disebut sebagai miytsaqon ghaliyzho (4: ayat 21) yang mana kata ini digunakan juga untuk menyebut perjanjian antara para Nabi dengan Allah s.w.t dalam mengembangkan perjuangan dakwah (33: ayat 7).

Oleh kerana itu pernikahan harus dilaksanakan dengan cara yang sesuai dengan ajaran Islam. Justeru itu pernikahan jangan sampai dinodai dengan perkara-perkara yang berupa maksiat. Sesudah pernikahan berlangsung, kehidupan berumah tangga pun harus dijalani dengan sebaik-baiknya meskipun cabaran dan godaan menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik begitu banyak. Untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang Islamik, ada beberapa perkara yang harus mendapat perhatian suami dan isteri. Antaranya ialah:

Mengukuhkan Rasa Cinta

Cinta merupakan pengikat dalam keutuhan kehidupan rumah tangga. Apabila rasa cinta suami kepada isteri atau sebaliknya telah hilang dari hati, maka kehancuran rumah tangga amat sukar untuk dihindari. Oleh hal demikian itu, suasana cinta-mencintai mesti saling dipupuksubur atau diperkukuhkan, tidak hanya pada masa-masa awal kehidupan rumah tangga, bahkan pada masa-masa selanjutnya hingga suami isteri menanjak dan menemui kematian.

Rasulullah s.a.w sebagai seorang suami berjaya membahagi dan memupuk subur rasa cinta kepada semua isteri baginda sehingga salah seorang isteri mengatakan bahawa dialah yang paling dicintai oleh Rasulullah – begitu juga dengan isteri yang lain.

Berumah tangga diibaratkan seperti orang yang sedang belayar. Ketika pelayaran baru bermula, suasana di dalam kapal masih tenang kerana di samping penumpangnya benar-benar ingin menikmati pelayaran itu, juga kerana belum ada sebarang kesulitan, belum ada ombak dan angin kencang yang menerpa, tetapi ketika kapal itu telah sampai di lautan yang jauh, barulah terasa ombak besar dan angin yang sangat kencang menerpa.

Dalam suasana seperti itulah pengukuhan rasa cinta antara suami dengan isteri menjadi sesuatu yang sangat penting dalam menghadapi dan mengatasi terpaan badai kehidupan rumah tangga. Pernikahan dilangsungkan dengan pengertian agar lelaki dan wanita yang mengikat hubungan suami isteri mampu memperoleh ketenangan dan rasa cinta.

Dalam soal ini Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menjadikan untukmu isteri-isteri daripada kalanganmu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (30: ayat 21).

Saling Hormat Menghormati
Saling cinta-mencintai harus diperkukuhkan dengan saling hormat-menghormati – suami hormat kepada isteri dengan memberikan penghargaan yang sewajarnya terhadap perkara-perkara baik yang dilakukan oleh isterinya. Begitu juga isteri terhadap suaminya dengan menerima apa-apa yang diberikan oleh si suami meskipun dalam jumlah yang kecil

Pelayaran awal dalam kehidupan rumah tangga selalu diisi dengan suasana romantis yang segala-galanya indah, bahkan kelemahan dan kekurangan tidak begitu dipersoalkan. Romantisme memang menjadikan penilaian suami terhadap isteri dan isteri terhadap suaminya menjadi amat subjektif. Tetapi ketika rumah tangga berlangsung semakin lama, mulailah muncul penilaian yang objektif dalam pengerti an suami menilai isteri atau isteri menilai suami sekadar sambil lewa atau apa adanya.

Dahulu, ketika masa romantis, kekurangan masing-masing sebenarnya sudah terlihat tetapi tidak begitu dipersoalkan, tetapi sekarang, kekurangan yang sedikit pun sering saja dipersoalkan. Dalam suasana seperti itulah perlunya “disemarakkan” hubungan antara suami dengan isteri hingga masing-masing menyedari bahawa memang kekurangan itu tetap ada tetapi setiap daripada mereka juga harus menyedari akan adanya kelebihan-kelebihan yang lain.

Dalam kehidupan rumah tangga Rasulullah s.a.w, baginda telah meninggalkan contoh teladan kepada kita betapa baginda berlaku adil dan baik kepada keluarganya. Dalam sebuah hadis, baginda telah bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik dengan keluarganya dan aku adalah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat Tabrani)

Saling Menutup Kekurangan

Suami dan isteri tentu saja memiliki banyak kekurangan, bukan saja kekurangan dari segi fizikal, tetapi juga sifat-sifat yang ada pada diri mereka. Oleh kerana itu suami isteri yang baik tentu saja akan menutupi kekurangan-kekurangan tersebut – tidak suka menceritakannya kepada orang lain, termasuk kepada orang tuanya sendiri.

Walaupun begitu, dengan tujuan untuk berunding ke arah kebaikan, maka boleh menceritakan kekurangan sifat-sifat suami atau isteri kepada orang yang dipercayai.

Kerjasama Dalam Keluarga

Dalam mengharungi kehidupan rumah tangga, tentu saja banyak beban dan tanggungjawab yang harus dipikul dan dilaksanakan, misalnya tanggungjawab ekonomi. Dalam perkara ini suami harus mencari nafkah dan isteri harus membelanjakannya dengan sebaik-baiknya untuk membeli perkara-perkara yang baik dan tidak membazir. Begitu juga dengan tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak yang dalam hubungan ini diperlukan kerjasama yang baik antara suami dengan isteri dalam melahirkan anak-anak yang salih.

Kerjasama yang baik dalam mendidik anak-anak antara lain dalam bentuk sama-sama meningkatkan kesalihan diri masing-masing sebagai orang tua kerana mendidik anak mesti dengan teladan yang baik, juga tidak ada pertentangan antara sikap bapa dengan ibu dalam mendidik anak dan sebagainya.

Keharusan kita bekerjasama dalam perkara-perkara yang baik telah difirmankan Allah s.w.t di dalam al-Quran, yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan maksiat.” (5: ayat 2)

Mencernakan Fungsi Rumah Tangga Secara Optimum
Waktu yang dilalui sesudah bernikah juga harus dijalani dengan mencernakan fungsi keluarga seoptimum mungkin sehingga rumah tangga tidak sekadar dijadikan seperti tempat persinggahan dalam erti kata anggota keluarga menjadikan rumah sekadar untuk singgah sebagaimana sesuatu stesen, tetapi semestinya rumah tangga dijadikan sebagai tempat pulang dari sesuatu tempat lain bagi menghilangkan rasa penat dan memperbaiki diri daripada pengaruh yang tidak elok serta memperkukuhkan hubungan antara sesama anggota keluarga.

Oleh kerana itu keluarga harus dioptimumkan fungsinya seperti masjid. Ini bermaksud, rumah dijadikan sebagai tempat untuk mengukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t dan sesama anggota keluarga sehingga dapat menghindar sikap individualistik antara sesama anggota keluarga.

Di samping itu, rumah juga harus berfungsi seperti madrasah atau sekolah yang anggota keluarganya harus memperoleh ilmu dan pembinaan perwatakan sehingga suami dan isteri diharapkan berperanan seperti guru bagi anak-anaknya dengan memberikan ilmu dan contoh teladan yang baik.

Apa yang juga penting dalam kehidupan sekarang dan masa mendatang ialah menjadikan keluarga sebagai benteng pertahanan yang memberikan kekuatan pertahanan akidah dan keperibadian dalam menghadapi segala godaan kehidupan yang semakin banyak menjerumuskan manusia ke lembah kehidupan yang berupa maksiat pada pandangan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Membangun rumah tangga yang Islamik merupakan sesuatu yang sukar. Banyak rintangan, baik dari aspek dalaman mahupun dari aspek luaran yang harus dihadapi. Namun begitu, harus diingatkan bahawa rintangan yang besar dan banyak itu bukan bermakna tidak boleh atau tidak berupaya membangun rumah tangga yang Islamik. Setiap daripada kita mesti yakin akan kemungkinan keupayaan membentuk rumah tangga yang Islamik, dan kalau kita sudah yakin, maka kita dituntut membuktikan keyakinan itu dengan penuh kesungguhan.

Ini adalah kerana melaksanakan ajaran Islam memang amat dituntut kesungguhan yang besar. Akhirnya, untuk menikmati kehidupan rumah tangga yang bahagia, ada baiknya kita telaah sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Empat perkara yang merupakan kebahagiaan seseorang, iaitu mempunyai isteri yang salihah, mempunyai anak yang berbakti, mempunyai sahabat yang salih dan mencari rezeki di negerinya sendiri.” (Riwayat Dailami daripada Ali r.a)